
Laporan/foto: Sharifah Ithnin/Rizal Jasmi (Alor Gajah)
MELAKA, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) aktiviti keagamaan telah dijalankan ke semua tokong yang berada di dalam Daerah Alor Gajah sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka berkolaborasi bersama Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Alor Gajah, menjalankan pemantauan ini bagi memastikan pemilik permis rumah ibadat mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan sepanjang tempoh perayaan ini berlangsung.
Pegawai Perpaduan, Nadiatul’ Ain Md Saharif, yang mengetuai pemantauan berkata, memang menjadi tugas mereka pada setiap musim perayaan selain Sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk megadakan pemantauan di setiap lokasi rumah ibadat di seluruh Negeri Melaka.
“Kami akan pastikan pemilik rumah ibadat mematuhi setiap SOP yang telah ditetapkan dan segala keperluan seperti kod imbas MySejahtera, pengukur suhu, buku daftar pengunjung dan cecair pembasmi kuman disediakan di permis rumah ibadat.
“Selain itu aktiviti keagamaan di rumah ibadat telah menetapkan kehadiran pengunjung tidak melebihi 30 orang dengan penjarakan sosial dan tanggungjawab sepenuhnya kepada jawatan kuasa pengurusan rumah ibadat,” katanya ketika ditemui semasa manjalankan pemantauan di rumah ibadat, di sini baru-baru ini.
Manakala menurut Pengerusi Persatuan Penganut Agama Buddha Machap Umboo Tong Nget Kiow, perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini disambut secara bersederhana sahaja.
“Kami patuhi setiap SOP yang kerajaan telah tetapkan supaya penularan COVID-19 dapat disekat. Sebagai contoh, hari ini tidak ramai yang datang untuk bersembahyang di tokong dan mereka lebih selesa sembahyang di rumah bagi mengelakkan diri terdedah kepada risiko jangkitan,” jelas Tong.
Sebanyak enam buah tokong telah dikunjungi bagi pemantauan pematuhan SOP pada hari pertama Sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini dan kesemuanya mematuhi garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan.
-KN