Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Ubah Sikap Tolak Persepsi Negatif Vaksin COVID-19

By 15 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani (Semporna)/gambar fail

SEMPORNA, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Masyarakat dinasihati agar mengubah sikap dan mentaliti bagi menangkis persepsi negatif terhadap vaksin COVID-19 demi kebaikan seluruh rakyat.

Penolakan terhadap pemberian vaksin percuma oleh kerajaan ini boleh merencatkan usaha pelbagai pihak dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman, berkata ada golongan yang menolak pemberian vaksin ini disebabkan oleh kesan sampingan yang masih belum stabil dengan beranggapan bahawa suntikan ini boleh membawa maut, namun kes sedemikian adalah terpencil dan tidak wajar digunakan sebagai alasan.

Persepsi sebegini perlu dielakkan bagi membantu semua pihak dalam menjayakan usaha membendung penularan pandemik ini - Dr Shameer Khan.

Persepsi sebegini perlu dielakkan bagi membantu semua pihak dalam menjayakan usaha membendung penularan pandemik ini – Dr Shameer Khan.

“Sebagai contoh, kadar kematian akibat denggi dan penyakit tidak berjangkit adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan kesan sampingan disebabkan daripada suntikan vaksin tersebut.

“Justeru, persepsi sebegini perlu dielakkan bagi membantu semua pihak dalam menjayakan usaha membendung penularan wabak ini,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shameer berkata, masyarakat perlu merujuk kepada sumber sahih bagi mengelak daripada tertipu dengan dakyah yang diketengahkan kelompok antivaksin yang dikhuatiri berpandukan maklumat yang tidak tepat.

Mengulas isu berkenaan, kakitangan Awam Mohd Yusuf Hindi, 43, mengakui bimbang untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, selain belum memuktamadkan keputusan sama ada akan menyertai program imunisasi kebangsaan atau tidak.

“Saya khuatir kerana banyak kes kematian dan kesan sampingan berkaitan vaksin COVID-19 yang dilaporkan, selain mempunyai tempoh beberapa minggu untuk berfikir mengenai suntikan ini,” katanya.

Mohd Yusuf masih belum membuat keputusan sama ada bersetuju menerima suntikan atau tidak.

Mohd Yusuf masih belum membuat keputusan sama ada bersetuju menerima suntikan atau tidak.

Kakitangan awam Con Li Chong, 49, menyatakan pandangan berbeza dengan menjelaskan bahawa tiada alasan untuk tidak mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Inilah masanya, peranan kita sebagai masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran, selain mengelak daripada penularan pandemik ini menjadi semakin teruk,” katanya.

Seorang usahawan tempatan, Rajesh Ramesah, 58, pula menyifatkan suntikan vaksin adalah jalan penyelesaian terbaik bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

“Saya sudah tentu akan mengambil vaksin tersebut, apa yang penting ialah maklumat yang jelas mengenai program imunisasi yang perlu ditekankan dari semasa ke semasa.

“Ini penting bagi rakyat untuk tampil dan yakin menerima vaksin dan program imunisasi ini,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda