
Laporan/foto: Shaharuddin Daud/Muhammad Afiq Raduan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Mengambil kira kepentingan menyediakan infrastruktur kesihatan yang baik, maka tindakan usaha membina sebuah blok baharu di Hospital Tuanku Ampuan Najiah (HTAN) dilihat dapat memenuhi inspirasi Perdana Menteri agar setiap agensi awam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith, pembinaan blok baharu enam tingkat ini didirikan bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan HTAN bukan sahaja untuk rakyat setempat malah untuk keseluruhan Negeri Sembilan.
“Ia menempatkan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Bekalan Bahan Steril, klinik-klinik pakar, wad pesakit dalam, wad bedah, Unit Respiratori dan Hemodenamik serta pelbagai perkhidmatan seperti tempat letak kereta bakal dibangunkan bagi menampung kemudahan yang sedia ada dan pembinaan blok baharu ini kelak akan meletakkan Kuala Pilah khususnya HTAN sebagai pelopor perkhidmatan kesihatan yang terkini.
“Projek yang menerima peruntukan sebanyak RM139.3juta ini dijangka siap pada tahun 2024 dengan menggunakan kaedah pembinaan yang terkini dan melalui projek ini juga, HTAN akan mempunyai 458 katil secara keseluruhan,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah di HTAN semalam.
Dalam pada itu Eddin turut menegaskan amalan pengurusan pembinaan sistematik dan efektif mesti dilaksanakan agar dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Majlis Pecah Tanah tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman.
-FF