Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Barisan Hadapan Kuala Pilah Divaksin

By 10 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaharuddin Daud (Kuala Pilah) 

KUALA PILAH, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 114 orang petugas barisan hadapan di daerah Kuala Pilah telah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 di Klinik Kesihatan Kuala Pilah.

Para penerima vaksin terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan seperti Ibu Pejabat Polis Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Pilah (PKMD), serta warga kerja Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah yang terlibat dalam menangani wabak COVID-19.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supritendan Amran Mohd Gani, proses pendaftaran dan suntikan berjalan dengan lancar serta teratur mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Syabas diucapkan kepada warga kerja Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah yang menjayakan proses vaksinasi dan semua petugas barisan hadapan yang telah pun menerima vaksin pada hari ini,’’ katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Sementara itu menurut salah seorang penerima, Razali Kamarudin, 59, beliau menyahut seruan untuk menerima vaksin seiring dengan aspirasi Perdana Menteri Malaysia yang meletakkan kesihatan rakyat sebagai perkara paling penting dalam pentadbiran negara.

“Vaksin ini telah diperakui di seluruh dunia selamat dan dapat membendung penularan COVID-19.

“Selebihnya kita bertawakal dan berserah kepada Tuhan,’’ katanya selepas selesai divaksin.

Bagi Mohd Nur Loqman Hakim Ruzali, 29, pengambilan vaksin ini bertujuan untuk memastikan masyarakat bertambah yakin untuk berurusan dengan barisan hadapan.

“Petugas barisan hadapan adalah orang yang pertama berdepan dengan risiko jangkitan COVID-19.

“Suntikan vaksin ini pasti dapat memberikan semangat dan mengurangkan risiko jangkitan dan seterusnya dapat meyakinkan orang ramai ramai,’’ katanya.

-FF

Tinggalkan komen anda