Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pendapatan Peniaga Pekan Bukit Bunga Susut 70 Peratus

By 31 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Farihah Mohamed Rahim (Jeli)

JELI, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Pendapatan peniaga Pekan Bukit Bunga, di sini yang terletak di tepi Lebuh Raya Timur – Barat susut sehingga 70 peratus sejak penularan pandemik COVID-19.

Kebiasaannya pada musim cuti persekolahan begini ramai pelanggan yang berkunjung dan berbelanja, namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi kesan pada suasana perniagaan di sini.

Peniaga pakaian, Rafiah Ahmad, 48, berkata kebanyakan pelanggan yang datang adalah orang luar termasuk dari Lembah Klang.

“Berikutan COVID-19 tiada lagi pengunjung luar, semasa cuti sekolah, cuti umum dan musim perayaan, tempat ini memang menjadi tumpuan ramai.

“Perantau dan pelancong luar menjadi penyumbang utama kepada nadi ekonomi di Pekan Bukit Bunga yang turut disumbangkan oleh penduduk tempatan.

“Kalau dulu dapat jualan RM1000 sehari tak susah, sekarang terpaksa bersaing untuk dapatkan pelanggan masuk ke kedai dan belum tentu mereka beli, RM50 sehari pun susah nak dapat,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini.

Peniaga Siti Aisyah Hassan setia menanti kehadiran pelanggan ke kedainya.

Siti Aisyah setia menanti kehadiran pelanggan ke kedainya.

Seorang lagi peniaga Kamal Ismail, 54, yang menjual peralatan dapur berkata sekarang mereka hanya mengharapkan pelanggan tempatan yang amat berkurangan.

“Namun sebagai pemilik sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kami menerima bantuan daripada pihak kerajaan yang sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban untuk menyara keluarga,” katanya.

Menurut peniaga tilam dan anak patung Siti Aisyah Hassan, 25, terdapat juga peniaga melakukan penjualan secara dalam talian namun tidak serancak jualan sebelum ini terutama sebelum Aidilfitri menjelang tiba.

“Saya tetap membuka gerai menjual anak patung walaupun menyedari pelanggan yang datang amat berkurangan.

“Saya tetap bersyukur masih diberi peluang berniaga mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar tiada jangkitan berlaku,” jelasnya.

-RI

Tinggalkan komen anda