Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
PASIR MAS, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Ramai sukarelawan diperlukan bagi membantu kerajaan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zaliah Mohd Yusuf, sukarelawan ini diperlukan bagi menghebah dan menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat khasnya di luar bandar dan orang kurang upaya (OKU).
“Mereka ini akan membantu mendaftar dan membawa penerima vaksin ke tempat vaksinasi serta memaklumkan vaksin diberi secara percuma serta selamat.
“Kita perlu ramai sukarelawan bagi membantu kerajaan menyalurkan maklumat dan pendaftaran vaksin demi kesejahteraan rakyat dan negara.
“Kerajaan sayangkan rakyat dan sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menjaga kesihatan rakyat,” katanya ketika merasmikan Program Malaysia Prihatin Nasional Peringkat Parlimen Rantau Panjang di Kompleks Tunas Islam Kelantan (KOMTIK) Chetok, di sini hari ini.
Menurut Siti Zaliah, mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh mendaftar di laman sesawang yang tertera di internet atau menghubungi jabatan-jabatan yang berkaitan.
“Sesi latihan secara maya akan disediakan bagi yang terpilih menjadi sukarelawan, jangan bimbang dan takut semuanya selamat dan ini bermakna kita ada ruang untuk berbakti kepada masyatakat mengikut kemampuan yang kita ada,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Kesihatan Daerah Pasir Mas Dr. Najihah Mahfuzah Zakaria memaklumkan dalam keadaan norma baharu, tatacara dan peraturan kerajaan dalam menangani Penularan wabak COVID-19 perlu diikuti.
“Vaksin yang disediakan kerajaan amat baik dan selamat, kepatuhan SOP amat tinggi dalam kalangan masyarakat namun masih perlu berwaspada agar penularan wabak COVID-19 dapat dibendung,” katanya.
Imam Masjid Lemal Pasir Mas Nasir Awang Kechik, 58, berkata program ini amat baik dan wajar diadakan bagi pendedahan awal kepada penduduk mengetahui kebaikkan vaksin yang disediakan kerajaan.
“Ambo (saya) sangat setuju program ini dibuat kerana dapat maklumat secara terus dan dapat bertanya mereka yang tahu jika ada kemusykilan,” katanya.
Program anjuran Kementerian Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Pejabat Khidmat Masarakat Ahli Dewan Undangan Negeri Chetok dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
-RI