Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Penyakit Tibi Meningkat

By 29 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jamilah Binti Sulaiman Nasution (Seremban)/Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan

SEREMBAN, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Pada tahun 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sebanyak 10 juta manusia telah dijangkiti penyakit Tuberkulosis (Tibi) dengan angka kematian tinggi sehingga mencecah 1.5 juta orang.

Antara faktor utama peningkatan penyakit ini adalah kerana kurangnya kesedaran masyarakat mengenai tibi selain stigma masyarakat terhadap pesakit tibi.

Menurut Pakar Perunding Pulmunologi Hospital Tuanku Ja’afar Dr. Raymund Dass, penyakit tibi atau batuk kering adalah antara penyakit berjangkit tertua yang tercatat dalam sejarah ketamadunan manusia yang masih wujud hingga sekarang.

“Sempena Hari Tibi Sedunia dengan slogan ‘The Clock is Ticking’ yang disambut setiap 24 Mac, kita perlu menyebarkan kesedaran mengenai penyakit ini dan bahayanya bagi menangani ia daripada menular,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut Dr. Raymund, penyakit tibi merupakan penyakit berjangkit kedua tertinggi yang direkodkan di negara ini dan berdasarkan data kajian tibi 20 tahun belakangan ini, penyakit ini semakin banyak dilaporkan.

“Tibi adalah penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh diubati, walau bagaimanapun jangkitan boleh berulang semula sekiranya pesakit tidak mematuhi rejim rawatan tibi dan menyebabkan rintangan kuman terhadap pelbagai ubat akibat ketidakpatuhan menerima rawatan tibi.

“Dalam keadaan yang paling teruk, penyakit tibi boleh menyebabkan kematian apabila pesakit tidak mengambil perhatian serius untuk merawat dan mematuhi tempoh rawatan yang telah ditetapkan, walaupun penyakit ini boleh dirawat namun ia masih menjadi isu kesihatan yang utama di seluruh dunia kerana telah memberikan implikasi yang negatif terhadap sosioekonomi di negara-negara terlibat, selain telah mengakibatkan banyak kematian dan orang ramai perlu prihatin serta mendapatkan rawatan awal jika bergejala,” tegasnya.

-FF

Tinggalkan komen anda