Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Proklamasi Darurat Tidak Boleh Dicabar di Mana-mana Mahkamah

By 11 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata perkara itu diperuntukkan di bawah Artikel 150(8) Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain menetapkan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat adalah muktamad dan konklusif, dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah walau apa jua alasannya.

Hakim membuat ketetapan itu selepas mengetepikan permohonan semakan kehakiman yang dibawa oleh tiga wakil rakyat untuk mencabar tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri semasa darurat.

Tiga wakil rakyat itu terdiri daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram yang juga Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, ADUN Gurun yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan perdana menteri dan juga kerajaan Malaysia sebagai responden.

Hakim Ahmad Kamal juga berpandangan bahawa permohonan ketiga-tiga pemohon untuk mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai proklmasi darurat tidak boleh terbuka kepada semakan kehakiman.

Tinggalkan komen anda