
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Nur Effa Maruf (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Rasa teruja kerana menjadi antara penerima awal vaksin COVID-19 walaupun pada mula rasa gementar kerana kurang persediaan.
Demikian luahan hati Pegawai Penerangan, Asmidar Zainol yang telah menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada 11 Mac lepas seterusnya akan melengkapkan dos keduanya pada 31 Mac ini.
“Pada permulaan, selesai menerima vaksin dos pertama, saya hanya mengalami situasi yang kerap menguap dan rasa mengantuk sepanjang hari pertama namun pada hari-hari berikutnya kesan tersebut hilang dan boleh melakukan rutin harian seperti biasa.
“Setakat yang saya ketahui, individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin yang saya kenal semuanya hanya mengalami kesan sampingan yang agak ringan seperti badan menjadi lemah, loya, demam ringan dan kuat makan serta kesannya berbeza antara individu tetapi tidaklah seperti mana yang disensasikan di media sosial,” katanya ketika menjadi tetamu pada Program Influencer @JaPenSabah – Dari Hati ke Hati : VAKSINASI COVID-19 di Wisma Dang Bandang, di sini kelmarin.
Asmidar turut mengajak setiap masyarakat melaksanakan tanggungjawab menjayakan program vaksinasi ini secara bersama dengan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.
“Sekiranya anda telah mendaftar dan anda tahu ada jiran, saudara atau kawan-kawan yang belum mendaftarkan diri silalah bantu mereka.
“Program pendaftaran vaksinasi ini memerlukan kerjasama semua pihak agar matlamat kerajaan untuk mewujudkan imuniti berkelompok tercapai.
“Jadilah kita masyarakat yang bertanggungjawab untuk kebaikan diri, komuniti, masyarakat agar Program Imunisasi Kebangsaan dengan slogan Lindung Diri, Lindung Semua tercapai dalam mengekang wabak COVID-19,” katanya.
Selain itu, menurut Asmidar fizikal dan mental perlu bersedia sebelum menerima vaksin COVID-19.
“Sekiranya mental kita tidak bersedia akan menyebabkan keadaan fizikal kita berada dalam situasi tegang dan mengganggu emosi kita menyebabkan rasa was-was dan tidak bersedia.
“Lagipun sekarang, terlalu banyak maklumat yang disebar berkenaan dengan kesan sampingan vaksinasi ini.
“Walau bagaimanapun, terus dapatkan maklumat yang tepat daripada doktor yang bertauliah dan pengalaman individu yang telah divaksin terutama sekali mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19,” ujarnya.
-RI