
Laporan/foto: Nor Sofian Abdul Manan/Norhasliza Hamzah (Segamat)
SEGAMAT, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 24 orang dari Pasukan Vaksinator Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Segamat telah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech bagi dos pertama semalam.
Penerimaan vaksin ini adalah sebahagian dari Program Imunisasi COVID-19 fasa satu yang melibatkan 1,639 orang petugas barisan hadapan dan pengamal perubatan di daerah ini.
Menurut Pengawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Segamat PPjR Shamsul Nizan Mohd Salim, anggota RELA seramai 26 orang telah bersedia untuk menerima suntikan vaksin.
“Sebagai petugas barisan hadapan, kami terdedah dengan jangkitan virus COVID-19 terutamanya semasa menjalankan tugas di sekatan jalan raya (SJR), rondaan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penugasan di pasar-pasar malam.

Edaran poster COVID-19 oleh anggota RELA semasa Rondaan Pemantauan Pematuhan Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami sentiasa bersedia, sebarang cerita kurang baik mengenai vaksin ini bukanlah penghalang untuk menerima suntikan vaksin tersebut yang merupakan langkah terbaik untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat,” katanya lagi ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah beliau, dalam usaha ke arah kebaikan kita sebagai petugas barisan hadapan perlu sokong dan memberi contoh kepada masyarakat.
Sementara itu, Pegawai Pasukan Unit Sekretariat Pengurusan Bencana Dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Segamat LtM (PA) Zaidi Zainal memaklumkan bahawa 36 daripada 38 anggotanya telah bersetuju untuk menerima vaksin COVID-19.
“Dari senarai itu, seorang anggota sedang mengandung, seorang lagi baru melahirkan anak yang mana mereka tidak akan menerima suntikan vaksin tersebut.

Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali bersama Pasukan Teknikal COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Segamat.
“Pihak kami juga turut mendengar taklimat mengenai vaksin dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor secara maya yang memberi penerangan secara terperinci mengenai vaksin ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Daerah Segamat, di sini baru-baru ini.
Zaidi berkata sebarang maklumat yang mengelirukan mengenai vaksin ini bukan sahaja akan merugikan rakyat tetapi juga menidakkan hak mereka yang memerlukan iaitu warga emas dan golongan berisiko.
“Anggota-anggota APM bersetuju untuk menerima vaksin kerana ia untuk kebaikan bersama dan berharap vaksinasi ini akan memberi keyakinan lebih tinggi kepada semua untuk berdepan pandemik COVID-19.
“Selain itu, vaksinasi ini juga merupakan langkah terbaik dalam membantu anggota APM berhadapan dengan masyakat terutama ketika menjalankan tugas bagi program Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) serta menangani kes-kes panggilan kecemasan di mana mereka berisiko dijangkiti COVID-19,” tambahnya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan membuat lawatan tapak ke Dewan Serbaguna Segamat yang merupakan salah satu Pusat Pemberian Vaksin Daerah Segamat (PPV) bagi melihat sendiri persiapan daerah Segamat untuk Program Imunisasi COVID-19 Fasa Satu.
-NI-