
Laporan/foto: RA Othman (Marang)
MARANG, 28 April (Malaysiaaktif) – ‘Bersih Pantai Ramadan’ satu lagi program inisiatif Pejabat Daerah Marang (PDM) dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta masyarakat setempat dalam memastikan hasrat mendidik masyarakat supaya caknakan penjagaan kebersihan pantai dan kawasan sekitar tercapai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu Ariffin Deraman, berkata demi merealisasikan hasrat dan membudayakan aktiviti ini dalam masyarakat, program sebegini perlu selalu diadakan di seluruh Negeri Terengganu memandangkan selain mendidik masyarakat menjadi orang yang sukakan kebersihan, sekali gus boleh memupuk nilai kerjasama yang tinggi dalam kalangan penduduk setempat.
“Walaupun berada dalam bulan Ramadan, kita masih boleh menganjurkan program seperti ini yang boleh dilaksanakan pada waktu malam dan pengisian aktiviti gotong-royong bersih pantai ini lebih memberi faedah serta pahala yang berlipat ganda lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya sempena program tersebut di Pantai Kelulut, di sini semalam.
Beliau juga meluahkan rasa teruja dan berterima kasih dengan cetusan idea oleh Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, yang merancang program unik seperti ini bahkan boleh menjadi satu platform untuk meneruskan aktiviti seperti ini sepanjang tahun.
“Idea sebegini memang unik dan memperlihatkan kelainan, jadi saya berharap agar daerah-daerah lain juga boleh menganjurkan aktiviti atau program sebegini selepas ini.
“Mungkin selepas Ramadan atau aktiviti sempena hari raya Aidilfitri,” katanya.
Program ini turut mendapat penyertaan daripada agensi seperti Majlis Daerah Marang (MDM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Penerangan Daerah Marang dan lain-lain selain disokong oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang turut hadir mengimarahkan aktiviti ini.
Selain bergotong-royong, kawasan sekitar pantai turut dipasang dengan pelita-pelita bagi memastikan pencahayaan yang cukup memudahkan aktiviti pada waktu malam dilaksanakan.
-ii-