Skip to main content
Berita Sabah & LabuanEkonomiGlobalHome

2,733 Kes Baharu dengan 13 Kematian

By 28 April 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 28 April (Malaysiaaktif) – Kes positif baharu COVID-19 semalam masih lagi melebihi paras 2,000 dengan 2,733 kes menjadikan kes positif COVID-19 keseluruhan berjumlah 398,451 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hanya lima daripada keseluruhan kes merupakan kes import melibatkan tiga warganegara dan dua lagi bukan warganegara.

Menerusi hantaran di laman Twitternya, beliau berkata Selangor kekal menjadi negeri mencatatkan kes positif baharu tertinggi dengan 750 kes, diikuti Kelantan (484) dan Sarawak (432).

Menurutnya, juga, sebanyak 2,019 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 371,575, manakala kes aktif kini sebanyak 25,414.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata 13 lagi kematian direkodkan menjadikan kumulatif kematian sebanyak 1,462 selain 294 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurutnya, 11 kluster baharu dikenal pasti semalam melibatkan empat kluster sektor pendidikan, masing-masing tiga kluster tempat kerja dan kluster komuniti serta satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster-kluster berkenaan ialah Kluster Jalan Puchong, Kluster Persiaran Setia Murni dan Kluster Jalan Sejati di Selangor; Kluster Cangkat Minden (Pulau Pinang); Kluster Jalan Padang Tembak (Kelantan); Kluster Jalan Kempas Muar (Johor) dan Kluster Teknologi Ayer Keroh (Melaka).

Kluster lain ialah Kluster Sungai Tuah (Sarawak); Kluster Bandar Baru Sentul (Kuala Lumpur), Kluster Akar Peluru (Kedah) dan Kluster Jalan Bukit Emas (Negeri Sembilan).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda