Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Bubur Lambuk Durian Tunjung Rapatkan Silaturahim Penduduk Labuan

By 27 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 27 April (Malaysiaaktif) – 1000 pek bubur lambuk hasil air tangan para Ahli Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Durian Tunjung berjaya merapatkan silaturahim penduduk tempatan apabila diagihkan kepada kesemua 27 buah kampung di pulau ini.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien berkata pengagihan bubur lambuk itu sudah menjadi acara tahunan bagi kampung itu.

“Walaupun masih dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Program Bubur Lambuk Ramadan tetap diadakan dan akan menjadi acara tahun di Kampung Durian Tunjung berikutan sambutan yang mengalakkan pada tahun ini.

“Program ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan antara lain bertujuan untuk menyantuni serta merapatkan silaturahim sesama penduduk selain mewujudkan persefahaman dan meningkatkan kerjasama dalam kerja-kerja sosial,” katanya semasa mengagihkan bubur lambuk pada program di kampung itu baru-baru ini.

Amir (kiri) menyerahkan bubur lambuk kepada Niswati.

Amir (kiri) menyerahkan bubur lambuk kepada Niswati.

Tambahnya, bubur lambuk antara pilihan juadah berbuka puasa kerana ia sinonim dengan amalan masyarakat yang menzahirkan pemberian makanan kepada saudara-mara dan jiran tertangga.

Sementara itu Ketua Kampung Durian Tunjung, Abu Bakar Yusof berkata hidangan bubur lambuk mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri kerana cara masakannya yang berlainan mengikut negeri.

“ Sebanyak 22 ramuan masakan telah diadunkan untuk menyediakan bubur lambuk Durian Tunjung yang terdiri daripada beras dan campuran rempah ratus dan sayur-sayuran.

“Terima kasih diucapkan kepada Dato Sri Amir yang menyumbangkan peruntukan untuk menjayakan program ini pada Ramadan kali ini,” jelasnya.

Antara petugas yang bertungkus lumus menyediakan bubur lambuk.

Antara petugas yang bertungkus lumus menyediakan bubur lambuk.

Dalam pada itu, seorang pemimpin wanita tempatan, Niswati Tarji, yang turut hadir berkata program bubur lambuk boleh meraikan perbezaan bangsa, budaya dan agama semua rakyat Malaysia.

“Bubur lambuk adalah antara amalan tradisi rakyat Malaysia yang signifikan dengan lambang perpaduan dan kesepakatan menerusi makanan yang menyatukan rakyat di negara ini,” katanya.

Selain mengedarkan bubur lambuk kepada ketua-ketua kampung dan beberapa Badan Bukan Kerajaaan, Amir turut mengagihkan 50 kotak pelitup separuh muka dan apron kepada petugas serta warga Kampung Durian Tunjung.

-ZS

Tinggalkan komen anda