
Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 12 April (Malaysiaaktif) – Jelajah Franchise Bay adalah siri pameran melibatkan penyertaan syarikat francais bagi mempromosikan perniagaan kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi usahawan dan kumpulan peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan kepada konsep francais.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid, berkata perniagaan francais merupakan perniagaan yang bersistem dengan mengandungi manual operasi, manual latihan, rantaian bekalan tersendiri dan sebagainya.
“Penyertaan melibatkan francaisor induk iaitu individu mahupun syarikat yang memegang hak perniagaan francais di bawah tanda dagangan atau nama dagang mereka di Malaysia.

Rosol (dua dari kiri) meluangkan masa melawat galeri pameran semasa Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu.
“Pada masa yang sama, program ini memberi pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan untuk memahami konsep perniagaan francais di samping latihan dan pakej pembiayaan yang ditawarkan memberi peluang kepada komuniti mengenali dan memahami sistem perniagaan francais di Malaysia,” katanya.
Rosol berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu (KPDNHEP), di sini baru-baru ini.
Tambah Rosol, pemilik jenama tersebut akan memantau setiap perkembangan perniagaan usahawan ini.
“Oleh yang demikian, risiko dapat dikurangkan dan berupaya memberi pulangan yang baik kepada usahawan,” katanya.
Menurut Pengurus MYKOPIESATU Sdn Bhd, Zuraini Abd Rani, 45, sambutan orang ramai pada program hari ini sangat menggalakan dan ruang yang diberikan sangat tepat untuk mengembangkan perniagaan.
“Ruang yang diberikan sangat bertepatan untuk pihak kami memperkenalkan produk kepada pengunjung yang hadir, seterusnya memberi pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan untuk memahami konsep perniagaan francais di syarikat kami yang merupakan anak syarikat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya.

Zuraini berkata ruang ini sangat bertepatan untuk memperkenalkan produk seterusnya memberi pendedahan kepada usahawan dan bakal usahawan untuk memahami konsep perniagaan francais.
Manakala menurut wakil pengusaha, Rempah Cap Bunga Rose, Fitri Nia Syahriful, 28, berkata sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung yang ratanya pengguna serta mengetahui kewujudan produk syarikat kami di Terengganu.
“Kami mengambil peluang ini untuk mempromosikan perniagaan dan memperkenalkan produk baharu syarikat iaitu kacang hijau, dengan membuat pembaharuan dari segi pembungkusan yang lebih menarik,” katanya.

Fitri Nia berkata peluang ini digunakan bagi mempromosikan perniagaan dan memperkenalkan produk baharu syarikat.
Dalam pada itu, Rosol Wahid turut mengingatkan rakyat di negeri ini untuk membuat pendaftaran vaksinasi memandangkan jumlah pendaftaran penduduk di negeri ini antara yang terendah.
Pada program tersebut, selain industri francais, KPDNHEP juga membawakan kiosk-kiosk usahawan tempatan sebagai kesinambungan pelancaran Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2020 sebagai usaha berterusan meningkatkan promosi bagi tujuan merancakkan kembali ekonomi domestik.
-ii-