Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hari Tanpa Lif untuk Gaya Hidup Sihat

By 29 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Persatuan Larian Menara Malaysia

PUTRAJAYA, 29 April (Malaysiaaktif) – Persatuan Larian Menara Malaysia (MTA) menyarankan kepada kerajaan supaya memperkenalkan Hari Tanpa Lif setiap bulan untuk menggalakkan lebih ramai orang mengamalkan gaya hidup yang menyeronokkan dan sihat dengan mengurangkan penggunaan lif atau eskalator.

MTA dalam kenyataan hari ini berkata ia bertujuan untuk membuat seramai mungkin orang bergerak dan aktif kerana lebih 50 peratus penduduk negara ini didapati terlebih berat dan obes pada 2019.

“Fikirkan tangga sebagai peluang untuk membakar kalori, sama ada di rumah, pejabat, di tempat awam atau di stesen MRT/LRT. Pilih tangga berbanding lif atau eskalator,” kata Presiden MTA Ravinder Singh dalam kenyataan sama.

Sementara itu, MTA berharap inisiatif Hari Tanpa Lif, contohnya pada hari Selasa pertama setiap bulan, dapat menggalakkan rakyat Malaysia untuk memulakan langkah menjauhkan diri dari gaya hidup yang tidak aktif ke amalan yang lebih sihat.

MTA berkata setiap premis atau lokasi yang sesuai harus mengambil kesempatan menganjurkan acara sendiri, bagaimanapun, lif harus tetap disediakan bagi sesiapa yang memerlukan kerana ada yang tidak mampu menggunakan tangga.

Menurut MTA tingkah laku tidak aktif boleh menjejaskan keadaan fizikal seperti obes, diabetes dan tekanan darah tinggi.

“Orang ramai membakar kira-kira 0.17 kalori untuk setiap langkah menaik dan kira-kira 0.05 kalori untuk setiap langkah menurun.

“Tetapi satu cawan teh tarik kurang manis mengandungi 80 kalori, manakala satu cawan teh tarik biasa mengandungi 100 kalori. Jadi kita perlu melakukan pergerakan menaik kira-kira 471 langkah untuk membakar 80 kalori dan 588 langkah untuk membakar 100 kalori,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda