
Laporan/foto: Nasrul Abdul Hamid/Malini Md Yunos (Rembau)
REMBAU, 13 April (Malaysiaaktif) – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Rembau giat melaksanakan Program Bakul Makanan JKM untuk diberikan kepada penerima bantuan bulanan JKM.
Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Rembau Nurul Fatihah Jasli, pengagihan bakul makanan ini bermula pada pertengahan bulan Mac yang lalu.
“Selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri berkaitan pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), JKM Rembau memperuntukkan sebanyak 2680 buah bakul makanan untuk diagihkan kepada penerima bantuan bulanan JKM di daerah ini.
“Peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan program ini dibawah Pakej PERMAI, Matlamat 2 Memelihara Kebajikan Rakyat di mana setiap bakul makanan adalah bernilai RM100 yang merangkumi barangan makanan keperluan harian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.
Menurut Fatihah, program yang dilaksanakan JKM Rembau ini bertepatan dengan situasi semasa dimana penerima dapat membuat persiapan bagi menyambut bulan Ramadan yang akan menjelang tiba.
Sementara itu, menurut Zainun Basir, penerima bantuan JKM dan bakul makanan ini mengucap syukur dengan bantuan yang diberikan.
“Alhamdulillah bersyukur dengan adanya bantuan bakul makanan ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan harian dan persiapan untuk menyambut bulan Ramadan yang menjelang tiba nanti.
“Saya turut berharap juga agar bantuan ini dikekalkan pada masa akan datang,” katanya.
-FF