Laporan/foto: Siti Zuraida Md Nor Aidi (Jempol)/Shamsulkhair Mohd Ayop (Jempol)
JEMPOL, 13 April (Malaysiaaktif) ā ‘Mantai’ begitu sinonim dengan penduduk di Negeri Sembilan apabila menyambut ketibaan Ramadan ataupun Syawal dan ianya berasal daripada perkataan bantai iaituĀ aktivitiĀ menyediakan daging sembelihan pada hari sebelum menjelangnya Ramadan ataupun Syawal dan kebiasaannya tidak lengkap sekiranya tiada juadah lemang untuk dimakan bersama daging mantai yang dibuat rendang.
Mengambil inisiatif sempena tradisiĀ tersebut, pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung (Kg.) Bukit Laka, Mohd Saufi Majid 67, menganjurkan program memasak lemang bersama penduduk.
“Pada setiap tahun kita tidak ketinggalan bagi mengadakan program mantai, namun tahun ini sedikit berbeza daripada tahun sebelumnya kerana disambut lebih meriah walau dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
“Selain daripada mengeratkan hubungan sesama penduduk, program ini juga ibarat serampang dua mata kerana kita turut menjemput Pejabat Penerangan Daerah bagi memberikan sedikit perkongsian berkaitan suntikan vaksin COVID-19 dan membuka kaunter pendaftaran,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut, di sini kelmarin.
Menurut Saufi lagi, sebanyak 150 batang lemang dan sebanyak 10 kilogram rendang daging dapat dilaksanakan dengan kerjasama secara gotong royong yang melibatkan tiga buah kampung iaitu Kg. Bukit Laka, Kg. Serting Ilir dan Kg. Gajah Mati serta Taman Tuanku Puan Chik dan Taman Kepayang yang diagihkan kepada 108 buah keluarga.
Sementara itu, salah seorang penduduk yang ditemui, Mahat Md Yunus 61,Ā berasa teruja kerana melalui program mantai ini, program santai seperti kempen daftar vaksinasi lain turut boleh diselitkan demi kepentingan masyarakat setempat di sini.
“Saya baharu sahaja mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi, sebelum ini saya tidak tahu cara untuk mendaftar bagi suntikan vaksin dan terima kasih kepada Pejabat Penerangan yang datang memberikan penjelasan dan membantu membuat pendaftaran.
“Dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti ini sedikit sebanyak membantu ahli masyarakat dalam mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat mengenai apa jua maklumat khususnya tentang Program Pendaftaran Vaksinasi dan memudahkan urusan pendaftaran bagi suntikan vaksin COVID-19,” katanya.
-FF