
Laporan/foto : Surega Vasuthevan (Melaka Tengah)
MELAKA, 23 Apr ( MalaysiaAktif) – Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka ( PERPUSTAM) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia telah mengadakan “Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit” Peringkat Negeri Melaka Bagi Tahun Kelapan telah berlangsung di Dewan Tuah, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka semalam.
Program inisiatif membaca ini mula diperkenalkan pada tahun 2014 dan ianya adalah cetusan idea oleh Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia dengan konsep berhenti sebentar daripada melakukan apa jua pekerjaan untuk memberi laluan kepada aktiviti membaca selama 10 minit walaupun dimana juga kita berada.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Jailani Khamis yang mewakili Ketua Menteri Melaka berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, pada tarikh hari ini, sekali lagi kita menyahut seruan “Jom Baca Bersama 10 Minit” yang julung kali diadakan pada bulan Ramadan di mana ia sangat bertepatan kerana pada waktu bulan puasa inilah, kita dapat mengisi masa kita dengan membaca.
“Tempoh 10 minit ini diharapkan menjadi detik permulaan dalam menggalakkan minat masyarakat untuk membaca dengan harapan agar ia menjadi satu budaya dalam masyarakat Malaysia.
“Tabiat membaca seharusnya dipupuk sejak kanak- kanak lagi, membaca adalah kunci untuk memperolehi ilmu kerana tiada kemahiran yang lebih asas dan lebih penting dari kemahiran membaca,” katanya ketika di temui di sini, semalam.
Jailani yakin program yang diadakan secara serentak di seluruh negara ini akan meningkatkan minat dan keseronokan membaca serta mampu menyuburkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka, Mohamed Aizammuddy dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Ismail Alias.
-FF