Pelapor/foto: Suzilawati Kamarudin (Seremban)
SEREMBAN, 23 April (Malaysiaktif) – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dan Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan bekerjasama menganjurkan aktiviti “Jom Baca Bersama untuk Sepuluh Minit Sehari” sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut setiap 23 April setiap tahun.
Menteri Besar Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri menyokong program ini sebagai inisiatif menggalakkan budaya membaca dalam kalangan penduduk di negeri ini khususnya, seterusnya menjadikan rakyat Malaysia berilmu bertaraf dunia.
“Kerajaan negeri telah memberi peluang dalam meningkatkan ilmu pengetahuan kepada semua rakyat melalui perkhidmatan pembacaan percuma iaitu di perpustakaan serta menggunakan perkhidmatan digital seperti e-Book.
“Program seumpama ini sentiasa mendapat sokongan pemimpin tempatan selari dengan seruan kerajaan dalam mendukung hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai “Negara Membaca” menjelang 2030”,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, di sini semalam.
Sementara itu, Azree Shafuan Abdullah, 35, ketika ditemu ramah melahirkan rasa kagum dan gembira kerana anaknya yang bersekolah di Tabika Kemas Kg Bemban bersemangat bercerita menggunakan buku walaupun usianya baharu empat tahun selepas pulang dari sekolah.
“Jelas sekali program ini walau hanya sepuluh minit tetapi begitu mudah mempengaruhi anak-anak yang masih kecil.
“Kebimbangan kegilaan anak-anak kepada gajet boleh dialihkan kepada minat membaca sekiranya aktiviti ini diamalkan setiap hari,” katanya.
Program tersebut melibatkan institusi pendidikan termasuk prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta jabatan, agensi kerajaan dengan aktiviti membaca sebarang bahan bacaan selama sepuluh minit.
Turut dilancarkan maskot Rusa Nani PPANS sebagai tarikan untuk menggalakkan masyarakat di Negeri Sembilan mengunjungi PPANS demi usaha memupuk semangat dan cintakan budaya membaca tanpa mengira batasan usia dan bangsa.
-FF