
Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU- 13 April (Malaysiaaktif)– Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memainkan peranan penting di peringkat komuniti terutama dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat setempat khususnya dalam usaha memutuskan penularan wabak COVID-19.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata program seumpama ini tidak terhenti setakat ini sahaja malah akan diteruskan dengan siri jelajah Malaysia Prihatin ini merangkumi pelbagai kumpulan sasar lagi sehingga rakyat di Parlimen Kuala Terengganu khususnya benar-benar faham dan mendapat informasi yang tepat mengenai peranan kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19.
“Negeri Terengganu antara negeri terendah penduduknya mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19, sehubungan itu peranan JPKK sebagai ketua bagi komuniti perlu membantu pelaksanaan usaha tersebut dan menjadi agen penghubung antara rakyat dan kerajaan sehingga ke akar umbi.
“Semua kepimpinan di peringkat komuniti diharap dapat memahami dan menyebarkan aspirasi kerajaan ini ke peringkat kampung dan komuniti masing-masing seterusnya memberi penerangan sebaiknya kepada penduduk kampung akan kepentingan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan kerajaan agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan segera,” katanya ketika ditemui sempena Program Malaysia Prihatin di Pejabat Daerah Kuala Terengganu, di sini semalam.
Pada masa yang sama, beliau turut berharap agar JPKK memainkan peranan memberi penerangan yang jelas mengenai kepentingan menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mewujudkan imuniti kelompok dengan mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Ahmad Amzad sempat melawat pameran bergerak iM@JaPen milik Jabatan Penerangan Malaysia yang mengadakan pameran sempena program tersebut.
“Lebih cepat kita mendaftar dan mendapat vaksin, lebih cepatlah kita dapat menikmati kembali kehidupan yang normal,” katanya.
Beliau sempat melawat unit pameran bergerak iM@JaPen milik Jabatan Penerangan Malaysia yang mengadakan pameran sempena program tersebut.
Turut hadir di program tersebut ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ariffin Abdullah dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu Ahmad Ammar Othman.
-ii-