Laporan/foto: Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 13 April (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid, melancarkan program bantuan khas yang dipanggil Gerobok Prihatin membantu masyarakat setempat yang terkesan akibat kehilangan atau terjejas punca pendapatan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
Rosol yang juga ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata program yang menggunakan konsep ‘ambil bila perlu, sumbang bila mampu’ memberi peluang kepada orang ramai, syarikat atau persatuan untuk memberi sumbangan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan di tempat yang disediakan khas di masjid-masjid sekitar daerah ini.
“Bagi peringkat awal, Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu menyalurkan sebanyak RM1,000 untuk pembelian barangan harian serta RM500 untuk ‘Ihya Ramadan’ kepada 93 buah masjid seluruh Kawasan Parlimen Hulu Terengganu,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Gerobok Prihatin di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu RAKR Tok Randok, di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai program yang dilancarkan, Pengerusi Masjid Bukit Perah, Muhammad Nasir Madiah, 57, berkata program ini amat bermakna kerana ianya memberi kemudahan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan keperluan harian.
“Segelintir penduduk yang terjejas pendapatan kadangkala sukar mendapatkan bekalan makanan dan tidak tahu punca untuk mendapatkan bekalan boleh mendapatkan keperluan tersebut di masjid-masjid yang berdekatan,” katanya.
-ii