
Laporan/foto: Norliza Yusof/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 13 April (Malaysiaaktif) – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah mula mengagihkan bantuan khas Ramadan sebanyak RM9 juta kepada golongan yang memerlukan.
Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Arifin Mohd Arif, berkata pengagihan tahunan ini akan diserahkan kepada 45,000 orang penerima dari golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Sabah.
“Petugas-petugas yang dilantik oleh MUIS di seluruh daerah juga telah mengenal pasti senarai penerima tersebut dan agihan akan dilakukan sepanjang bulan Ramadan.
“Agihan ini bakal melibatkan 10,291 orang penerima fakir dengan jumlah bantuan bernilai RM2,058,200 manakala sejumlah RM6,941,800 bakal diagihkan kepada 34,709 penerima miskin dan mualaf,” jelasnya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini semalam.
Menurutnya, tujuan kunjungan tersebut adalah untuk melakukan simbolik penyerahan bantuan Ramadan yang disampaikan oleh Setiausaha MUIS Ramlan Awang Ali kepada Pengerusi Jawatankuasa Zakat Fitrah Sabah merangkap Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar dan disaksikan oleh Tun Juhar sendiri.
-RI