Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Mohd Khairul Nizam Yunus (Seremban)
KUALA PILAH, 13 April (Malaysiaaktif) – Aktiviti ‘ngoca’ selalunya dilakukan selepas musim menuai padi sejak bertahun-tahun lamanya sebagai salah satu aktiviti orang kampung mengisi masa lapang sebelum mula menanam padi semula.
Ngoca, dalam dialek Negeri Sembilan bermaksud menangkap ikan menggunakan jala, tangguk atau penapis plastik.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata selaras dengan aktiviti ini, pihak kerajaan negeri bersetuju mewujudkan satu kawasan yang mana ianya akan dijadikan salah satu acara tahunan pelancongan Negeri Sembilan dan Perkampungan Budaya Terachi telah dipilih sebagai tempat ngoca dan bola sepak sawah.
“Kawasan seluas 5.6 hektar melibatkan lapan buah kolam ngoca, dataran, tali air baru, struktur pintu kawalan air telah dibina di Perkampungan Budaya Terachi, menelan belanja sebanyak RM450,000 telah siap dibina pada Februari lalu.
“Kolam ngoca tersebut akan diusahakan oleh pengusaha tempatan dengan menanam padi biasa sebanyak tujuh petak, dan padi pulut satu petak dan bercadang untuk membentuk padi yang akan ditanam di petak berhampiran jalan raya dengan slogan ‘DAULAT TUANKU’,” katanya sempena Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di perkampungan tersebut, di sini baru-baru ini.
Menurut Aminuddin, tempoh penanaman padi yang mengambil masa selama tiga ke empat bulan, memberikan peluang kepada pengusaha untuk menambah pendapatan sebelum Pesta Ngoca dan Bola Sepak Sawah yang akan dilaksanakan pada bulan September akan datang.
“Pesta Ngoca dan Bola Sepak Sawah adalah kesinambungan daripada pesta bola yang telah dijalankan pada tahun 2019 yang lalu, yang mana ianya mendapat sambutan menggalakkan daripada pasukan luar Negeri Sembilan.
“Pada masa sama, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan telah menjadikan aktiviti ngoca ini antara aktiviti wajib tahunan di dalam kalendar pelancongan Negeri Sembilan,” katanya.
-FF