
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 14 April (Malaysiaaktif) – Para peniaga dan pengunjung bazar Ramadan di seluruh pulau ini dinasihatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman, beliau menasihatkan kepada semua pihak agar mematuhi SOP agar tiada kes jangkitan COVID-19 baharu di bazar Ramadan.
“Pematuhan SOP juga amat penting diamalkan semua pihak agar semua peniaga dapat mencari rezeki selama sebulan untuk menyambut Aidilfitri disamping warga tempatan juga boleh mendapatkan juadah berbuka puasa,” katanya semasa membuat tinjauan di Bazar Ramadan Medan Selera Labuan, semalam.
Jelasnya, Perbadanan Labuan juga menempatkan anggota penguatkuasa setiap hari di bazar Ramadan tersebut untuk memantau pematuhan SOP dan mengambil tindakan segera jika diperlukan.

Seorang anggota penguatkuasa Perbadanan Labuan memasang pita keselamatan untuk kemudahan para pengunjung.
“Bagi bazar Ramadan di tempat lain, kita juga arahkan mereka untuk melakukan pemantauan terhadap pematuhan SOP sepanjang waktu perniagaan,” katanya.
Tambahnya, sekitar 100 gerai di lima tapak bazar Ramadan telah diberi kelulusan untuk berniaga pada bulan Ramadan tahun ini.
“Asalnya ada lapan tapak bazar Ramadan tapi kita terpaksa batalkan tiga tapak atas faktor keselamatan dan penganjur yang menarik diri, kini ada sekitar 100 gerai yang diberikan lesen untuk menjual barang makanan, barangan kering dan sebagainya.
“Jabatan Kesihatan juga membuat saringan COVID-19 kepada semua peniaga bazar Ramadan seminggu sebelum bulan Ramadan untuk memastikan semua peniaga bebas COVID-19,” jelasnya lagi.
-RI