Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Program Malaysia Prihatin Bantu Agensi dan Badan Berkanun Promosi Hasil Produk

By 14 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ali Imran Johari (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 14 April (Malaysiaaktif) – Sepuluh tapak pameran melibatkan agensi dan badan berkanun di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah dibuka bagi mempromosikan produk kepada orang ramai dalam program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Terengganu di sebuah hotel, di sini baru-baru ini.

Antara agensi yang terlibat ialah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Lada Malaysia (MPB, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Pegawai LKTN Anis Salmira Mohd Rizuan, pihak LKTN amat gembira untuk turun bersama ke program-program sebegini kerana secara langsung dapat mempromosi produk LKTN yang kurang dikenali oleh masyarakat.

“Kami menyambut baik undangan untuk turut serta turun mempromosi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara kerana selama ini kami kurang dikenali disebabkan oleh penukaran nama dari Lembaga Tembakau Malaysia kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Anis Salmira Mohd Rizuan (kanan), 36 Pegawai Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menerangkan kegunaan pokok kenaf kepada pengunjung.

Anis Salmira Mohd Rizuan (kanan), 36 Pegawai Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menerangkan kegunaan pokok kenaf kepada pengunjung.

“Program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan barang yang dihasilkan oleh pihak kami antaranya ialah tilam, pinggan dan juga barang untuk haiwan peliharaan,” katanya ketika ditemui di tapak pameran LKTN.

Tambah Anis, ramai yang tidak tahu kelebihan pokok kenaf yang mempunyai banyak kegunaan dan dapat membantu peladang-peladang untuk mencuba tanaman baru.

Sementara itu, Pegawai PERKESO Terengganu, Muhamad Yunus Muda, berkata program seperti ini amat bagus dalam membantu pihak mereka memberi pendedahan kepada JPKK tentang Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Pihak PERKESO Terengganu ingin memberi maklumat kepada masyarakat terutamanya yang kehilangan pekerjaan ketika bencana COVID-19 ini.

Pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Muhamad Yunus Muda, turut promosi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada pengunjung.

Pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Muhamad Yunus Muda, turut promosi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada pengunjung.

“Mereka yang kehilangan pekerjaan boleh memohon skim ini dan kami akan meneliti dan memberi bantuan dalam bentuk kewangan kepada yang layak,” katanya.

Beliau berkata pada masa yang sama, pihaknya juga ada menyediakan laman sesawang bagi majikan di sekitar Terengganu untuk memaparkan peluang pekerjaan menerusi https://www.myfuturejobs.gov.my/.

“Inisiatif ini juga dibantu oleh pihak kerajaan di mana setiap majikan dibayar insentif bagi setiap jawatan kosong,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda