Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Perkhidmatan PMS Kena ‘Bubut’

By 12 April 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Eviannie Kin (Kota Kinabalu)

PITAS, 12 April (Malaysiaaktif) – “Kena bubut (kejar) bah kami,” menurut pegawai dari Seksyen Pendaftaran Kontraktor, Pembendaharaan Malaysia Sabah (PMS), Ewayllyene Yap.

Demikian gambaran beliau mengenai sambutan menggalakkan yang diterima semasa aktiviti kaunter perkhidmatan “Senang Baitu” Daftar ePerolehan sempena Program Malaysia Prihatin: Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) di Kompleks Sukan Mini Pitas di sini yang berlangsung selama dua hari bermula 10 April lepas.

Katanya, ramai yang sanggup mengejar perkhidmatan mereka terutama dalam urusan pendaftaran perniagaan PMS.

“Bukan sahaja penduduk dari Pitas malahan ada dari daerah seperti Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud datang ke sini semata-mata ingin mendapatkan lesen perniagaan dari PMS.

Pegawai Seksyen Pendaftaran Kontraktor, Pembendaharaan Malaysia Sabah (PMS), Ewayllyene Yap.

Pegawai Seksyen Pendaftaran Kontraktor, Pembendaharaan Malaysia Sabah (PMS), Ewayllyene Yap.

“Keistimewaan program ini adalah kelulusan serta-merta pendaftaran lesen PMS hanya untuk dua hari ini saja, dengan syarat semua lampiran dokumen mesti lengkap.

“Pada tempoh tersebut, sebanyak 31 permohonan daripada 41 permohonan telah menerima kelulusan serta-merta.

“Biasanya urusan kelulusan pendaftaran lesen perniagaan mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari tempoh bekerja,” jelas beliau ketika ditemui di tapak pameran PMS sempena program tersebut, semalam.

Perkara itu sendiri diakui oleh pengusaha dalam perkhidmatan kebersihan, Haini Osuin, 47, dari Kudat yang sanggup memandu selama dua jam semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan PMS dalam program tersebut.

“Saya mendapat maklumat mengenai program ini daripada Facebook dan ini peluang amat baik untuk mendaftar dan terus mendapatkan lesen perniagaan dengan cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin Pangagid, 39, pembekal alat-alat kesihatan berkata, perkhidmatan seperti ini amat diperlukan kepada mereka yang jauh daripada Kota Kinabalu.

“Aktiviti tersebut sangat membantu kami penduduk yang dari daerah lain kerana kami tidak perlu lagi untuk turun ke Kota Kinabalu dalam urusan tersebut.

“Bukan saja dapat menjimatkan masa malahan dari segi kos juga,” ujar beliau dari Kampung Salipodon Laut, Pitas yang mendapat info program tersebut juga melalui Facebook.

Pegawai dari PMS, Louis Lojemi sedang membantu menyemak lampiran dokumen salah seorang pengunjung.

Pegawai dari PMS, Louis Lojemi sedang membantu menyemak lampiran dokumen salah seorang pengunjung.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar PMS dapat membuka pejabat di daerah ini bagi memudahkan urusan-urusan para penduduk di sekitar daerah ini.

Tidak ketinggalan pembekal perkhidmatan kebersihan, Azie Asnidah Imit, 25, berkata bahawa program sedemikian memberi manfaat kepada penduduk luar bandar sepertinya.

“Saya menerima sebaran info menerusi kumpulan sembang peribadi mengenai penganjuran aktiviti-aktiviti dan ini amat berguna untuk mendaftarkan perniagaan saya,” ujarnya.

Azie antara pemohon yang terpilih untuk menerima Sijil Lesen Perniagaan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri dalam majlis perasmian pada petang Ahad.

Pelaksanaan Malaysia Prihatin: Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak ini objektifnya adalah untuk menyasarkan kepada penduduk pedalaman Sabah yang kurang dan tiada akses mudah kepada perkhidmatan kerajaan.

 ‘Booth’ Pembendaharaan Malaysia Sabah (PMS).

Tapak pameran Pembendaharaan Malaysia Sabah (PMS).

-RI

Tinggalkan komen anda