Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Rezeki Tambahan Sebalik PKP

By 22 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Eviannie Kin/Nur Effa Maruf (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 April (Malaysiaaktif) – Tidak menyangka hobi menanam bunga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya menjadi pendapatan tambahan buat seorang pengusaha gerai makanan di sini, Silis@Suzie Lanius, 51.

Menurut Silis, sepanjang penguatkuasaan PKP, pendapatannya sedikit terjejas kerana kekurangan pelanggan di gerai makannya.

“Apabila kurangnya pelanggan, saya sekadar mengisi masa lapang dengan menanam bunga pelbagai jenis seperti bunga ati-ati dan daun keladi.

“Tidak dinafikan, pendapatan saya agak terjejas apabila gerai makan juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Silis (dua dari kiri) bersama anak-anak buah yang membantunya mengusahakan perniagaannya.

Silis (dua dari kiri) bersama anak-anak buah yang membantunya mengusahakan perniagaannya.

“Syukur, kini hasil tanaman bunga saya dapat dijual kepada para pengunjung lebih-lebih lagi, kini adalah musim peminat koleksi bunga tular,” ujar ibu kepada enam orang anak yang ditemui di premis perniagaannya, di sini semalam.

Sementara itu, lokasi perniagaannya yang strategik di Bukit Kokol, Manggatal pada ketinggian 800 meter dari aras laut, sentiasa menjadi tumpuan para pengunjung untuk bersantai menikmati keindahan pemandangan bandar raya Kota Kinabalu lebih-lebih pada waktu matahari terbenam.

“Saya bermula dari perniagaan kedai runcit kampung sehinggalah berkembang menjadi gerai makanan sejak tahun 2015 menerusi usaha dan modal sendiri.

Pemandangan cerah bandar raya Kota Kinabalu dari gerai N.G Santai-Santai Cafe.

Pemandangan cerah bandar raya Kota Kinabalu dari gerainya.

“Kini bukan sahaja penduduk sekitar di sini yang singgah gerai saya malahan ada yang datang dari Tuaran dan Putatan dapat menikmati soto dan nasi ayam bajet yang merupakan menu utama di sini.

“Selain menjual makanan dan minuman, saya turut membuka tapak perkhemahan dan inap desa kepada mereka yang mahu menikmati pemandangan dan merasai suasana dingin sama seperti di Kundasang,” tambahnya.

Menurut Silis lagi, para pekerjanya juga adalah dalam kalangan anak-anak, anak buah serta para penduduk sekitar Kampung Kokol dan ini secara tidak langsung dapat menyediakan peluang pekerjaaan buat komuniti tempatan.

Pengunjung tidak terlepas merakam keindahan matahari terbenam dari salah sebuah gerai yang terletak di Bukit Kokol, Manggatal.

Pengunjung tidak terlepas merakam keindahan matahari terbenam dari salah sebuah gerai yang terletak di Bukit Kokol, Manggatal.

-RI

Tinggalkan komen anda