Laporan/foto: Dayana Bahazelan / Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengadakan lawatan Ke Program Imunisasi COVID-19 Fasa 2 Peringkat Negeri Pahang di Pusat Vaksinasi Wisma Belia, Indera Mahkota, di sini, baru-baru ini.
Bagi vaksinasi Fasa 2 ini Wan Rosdy berkata, suntikan vaksin ini melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai sakit kronik. Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri Pahang menyasarkan 80 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri ini dapat divaksin menjelang Februari tahun depan.
Sehingga kini, hanya 25 peratus orang yang mendaftar melalui sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP) dan 32.8 peratus yang telah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera berbanding sasaran 1.6 juta orang penduduk neger Pahang dan menurut beliau peratusan ini masih rendah.
Beliau juga menyeru agar lebih ramai masyarakat negeri Pahang untuk segera membuat pendaftaran vaksin melalui sistem SICP dan MySejahtera bagi membendung penularan wabak COVID-19 ini yang semakin meningkat sekali gus dapat mengurangkan kadar kebolehjangkitan.
Turut hadir pada program tersebut ialah, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Ketua-ketua Jabatan. Program Imunisasi COVID-19 Fasa-2 ini dijangka melibatkan 360,000 orang di seluruh Pahang.
-AH