Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Syarikat Pemaju Perumahan Didenda RM125,000

By 27 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JAS Selangor

SELAYANG, 27 April (Malaysiaaktif) – Sebuah syarikat pemaju perumahan dijatuhkan hukuman denda RM125,000 kerana melanggar syarat oleh Mahkamah Seksyen, di sini semalam.

Syarikat tersebut gagal mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) kerana menjalankan aktiviti kerja tanah dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor Nor Aziah Jaafar, berkata Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan yang dikenakan kepadanya.

“Menurut Pertuduhan pada 7 Julai 2020, syarikat tersebut didapati telah menjalankan kerja tanah tanpa terlebih dahulu mengemukakan EMP di satu tapak projek perumahan di Mukim Rawang.

“EMP adalah sangat penting untuk Penggerak Projek menyediakan rangka kerja untuk mengurangkan kesan pencemaran yang signifikan dan seterusnya menjadikan risiko pencemaran itu berada di tahap paling minima yang ditetapkan oleh JAS.

“Objektif utama EMP ialah untuk memastikan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan pecemaran dapat dipertimbangka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, JAS Negeri Selangor sentiasa akan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda