Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

BKB JPN Bantu Masyarakat Pedalaman Mohon Sijil Lahir, MyKad

By 27 April 2021Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Janifer Stanis/Anis Hayati Tom (Kota Kinabalu)

RANAU, 27 April (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menerusi Bahagian Khas Bergerak (BKB) akan terus mempergiat usaha mendaftar sijil kelahiran dan memperbaharui kad pengenalan bermutu tinggi (MyKad), masyarakat pribumi di negeri ini.

Penolong Pengarah Kanan (Operasi) BKB, Abdon@Nasir Ambikin, berkata JPN sentiasa memastikan setiap warganegara mendapat perkhidmatan sewajarnya tidak kira di kawasan bandar atau luar bandar.

“Penubuhan BKB memberi fokus bagi memudahkan golongan kurang upaya, warga emas dan orang asal yang tinggal jauh di pedalaman mendaftar dokumen pengenalan diri mereka.

“Ramai dalam kalangan mereka ini mengalami kekangan untuk datang ke JPN kerana masalah pengangkutan dan jalan perhubungan yang kurang baik selain masalah kewangan.

“Justeru, JPN mengambil inisiatif turun padang untuk mendaftarkan mereka sama ada melalui program lawatan berkala ataupun permohonan waris, penjaga atau pemimpin masyarakat kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui pada pameran Program Malaysia Prihatin di Mukim Timbua, di sini baru-baru ini.

Tambah Abdon, sejak BKB diwujudkan, pelbagai kes-kes terpencil seperti kegagalan mendaftar disebabkan perpecahan keluarga dan kes orang tempatan cuba mendaftarkan anak tumpang telah dapat diselesaikan.

“Bagi kes disebabkan perpecahan keluarga, kami memerlukan sedikit masa untuk menjalankan risikan bagi mengetahui susur galur keluarga melalui penduduk atau pemimpin masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai sejarah komuniti mereka sebelum meluluskan pendaftaran.

“Manakala bagi kes percubaan mendaftar anak tumpang, ia berjaya dikesan melalui proses temuduga, risikan dan melihat perbezaan usia anak tumpang itu dengan usia anak yang lain pula, kes sebegini kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berkuasa lain,” katanya.

Penolong Pengarah Kanan (Operasi) BKB, Abdon @ Nasir Ambikin semasa ditemubual oleh pemberita.

Penolong Pengarah Kanan (Operasi) BKB, Abdon @ Nasir Ambikin semasa ditemubual oleh pemberita.

Dalam pada itu, Abdon turut menasihati orang awam agar tidak mengambil mudah pengurusan dokumen diri dan kematian kerana ia bukan sahaja berperanan sebagai dokumen keselamatan yang digunakan untuk mengenali identiti diri seseorang tetapi juga merupakan rujukan asas yang digunakan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, kebajikan, perbankan dan lain-lain urusan.

Sementara itu, bagi penduduk Kampung Tinutuan Moirin Ambun, 50, yang menemani anaknya, Virianto Moirin, 22, bersyukur apabila mendapat tahu JPN turut membuka kaunter dalam program tersebut.

“Saya mendapat maklumat mengenai kehadiran JPN dalam program ini melalui seorang rakan yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Timbua dan kebetulan hari ini saya datang ke sini untuk menemani anak saya memperbaharui kad pengenalannya yang rosak lebih dua bulan lalu.

“Walaupun terpaksa menumpang kenderaan saudara datang ke program ini, sekurang-kurangnya, kami tidak perlu berulang alik ke pekan Ranau, hanya perlu datang ke Pejabat JPN Daerah Ranau untuk mengambil MyKad anak pada hari yang ditetapkan.

“Ini kerana bukan mudah untuk kami yang tinggal di sini hendak ke pekan Ranau apatah lagi saya tidak memiliki kenderaan sendiri dan perlu membayar tambang sebanyak RM10 seorang, memang agak ‘terasa’ bagi saya yang bekerja sebagai seorang petani,” ujarnya.

Sebagai rekod, Bahagian Khas Bergerak (BKB) pada awal penubuhannya dikenali sebagai Pendaftaran Bergerak (sebelum 2002), kemudian diubah menjadi Unit Khas Bergerak bermula tahun 2009 hingga Mac 2021 dan kemudian dikenali sebagai BKB bermula Mac 2021 sehingga kini.

-RI

Tinggalkan komen anda