
Laporan/foto: Siscalistorina Janius/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 20 April (Malaysiaaktif) – Warga emas yang sudah mendapatkan suntikan vaksin dos pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menyeru masyarakat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.
Menurut S. Kannan, 83, pesara syarikat swasta berkata, tiada sebarang kesan sampingan dialami selepas menjadi antara yang terawal menerima suntikan dalam PICK fasa dua di Sabah.
“Setakat ini, saya tidak menghadapi sebarang kesan. Mungkin perlu tunggu beberapa jam kemudian atau hari lagi sekiranya terdapat kesan sampingan.
“Namun, saya percaya mendapatkan vaksin adalah baik untuk diri saya dan saya menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin ini kerana ia dapat melindungi diri dan masyarakat sekeliling,” katanya ketika ditemui media sekitar 30 minit selepas menerima suntikan.
Dalam pada itu, Datuk Noni Said, 70, dari Kota Kinabalu juga antara penerima vaksin pada hari pertama fasa kedua dimulakan dan menurutnya meski sudah disuntik vaksin, orang ramai masih perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Walaupun sudah menerima suntikan, kita masih perlu memakai pelitup separuh muka dan mematuhi penjarakan sosial yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko jangkitan.
“Namun begitu, saya tetap berasa lega setelah mendapatkan vaksin dos pertama kerana saya yakin, ia sebagai benteng memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Pada awalnya, memang saya berasa ragu kerana mempunyai penyakit darah tinggi dan sakit jantung, tetapi, melalui info yang diberikan, saya lebih yakin untuk mendaftar sebagai penerima vaksin ini,” ujarnya.
Majlis Pelancaran Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, pada Isnin dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor.
Menurut Shahelmey, seramai 268,000 penerima vaksin disasarkan dalam PICK fasa dua di Sabah melibatkan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berisiko tinggi.
Turut Hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr. Zulkapli Mohamed dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi.
-RI