
PUTRAJAYA, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 18 juta atau 55.1 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia sudah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat 5 Mei lepas, kata Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia (Program Sosial dan Pembangunan Teknikal) Nazaria Baharudin.
Beliau berkata bilangan penduduk tertinggi memberi respons kepada Banci Malaysia 2020 dicatatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 101.3 peratus, diikuti Perlis (82.8 peratus), Johor (77 peratus), Kelantan (72.3 peratus) dan Melaka (70.6 peratus).
“Untuk isi rumah, tujuh negeri mencatat kadar respons melebihi 70 peratus iaitu Kelantan (90 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (84.9 peratus), Perlis (80.1 peratus), Johor (78.9 peratus), Melaka (73.2 peratus), Terengganu (72.5 peratus) dan Perak (70.6 peratus).
“Bagi tempat kediaman pula, enam negeri mencatatkan kadar respons tertinggi iaitu Kelantan (104.1 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (100.4 peratus), Perlis (87.0 peratus), Perak (85.2 peratus), Melaka (84.0 peratus) dan Johor (83.9 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program turun padang Banci 2020 di daerah Alor Gajah, Melaka hari ini.
— BERNAMA