
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 25 Mei (Malaysiaaktif) –Angka kematian akibat COVID-19 terus melonjak dengan 61 kes dilaporkan, menjadi jumlah kes maut harian tertinggi pernah direkodkan sejak penularan wabak itu di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata kesemua kes kematian itu melibatkan rakyat tempatan berusia antara 27 hingga 98 tahun dengan majoritinya menghidap penyakit kronik, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat wabak itu kini 2,309 kes.
Jelasnya, kawasan Lembah Klang mencatatkan jumlah korban paling ramai dengan 21 kes iaitu 16 di Selangor dan lima di Kuala Lumpur, manakala 11 di Johor dan masing-masing enam di Melaka dan Pulau Pinang.
“Empat lagi kes di Kedah, masing-masing tiga di Sarawak, Negeri Sembilan, dan Pahang, manakala dua di Terengganu serta masing-masing satu kes di Perak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan mengenai penularan COVID-19, semalam.
Terdahulu menerusi Twitter, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 6,509 kes positif baharu dilaporkan iaitu turun sedikit berbanding rekod tertinggi 6,976 kes kelmarin.
— BERNAMA