Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Aidilfitri Norma Baharu, Kita Belum Menang Lawan COVID-19

By 10 Mei 2021Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang

GOMBAK, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Berbaki dua hari menjelang Aidilfitri, umat Islam pastinya tidak sabar melaungkan takbir raya untuk meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Cuma sedihnya tahun ini kita masih tak dapat pulang beraya ke kampung dan berkumpul bersama sanak saudara dan ini membuatkan rakyat Malaysia agak sensitif hingga diibarat mudah bengkok bagai parang timah, tidak boleh tersalah sikit pasti akan diserang netizen-netizen di media sosial.

Beraya pada musim COVID-19 ini, amalan kunjung mengunjung yang sinonim ketika Aidilfitri terpaksa dilupakan, tambahan pula, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor serta seluruh Kuala Lumpur, lagi buntu mahu beraya ke rumah siapa.

Dalam prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan ziarah hari raya bagi kawasan PKP hanya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Manakala bagi PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dibenarkan pada 1 sehingga 3 Syawal sahaja dengan tetamu dibenarkan adalah 20 dan 25 orang sahaja.

Memikirkan SOP yang ketat ini dengan kadar kompaun yang bukan sedikit jumlahnya, ada baiknya raya ini kita duduk di rumah sahaja, masak sendiri, makan sendiri dan tidak kisah jika orang kata kita antisosial, asalkan kita tidak menyusahkan orang.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan katil di hospital kendalian mereka terutamanya di Lembah Klang hampir penuh terutama di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dikatakan sudah mencapai angka amaran dan jika dilihat situasi ke Kelantan pula, sudah enam Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka dan lima daripadanya sudah mencapai tahap maksimum iaitu antara 70 hingga 100 peratus.

Menurut Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob, PKRC yang ketujuh di negeri itu mungkin diwujudkan sekiranya peningkatan kes harian COVID-19 terus menunjukkan trend peningkatan.

BE19893E-7E63-4C09-8A58-A3E4CF915EF4

Pengabaian SOP memungkinkan anda menjadi salah seorang mangsa dan penyumbang kepada statistik kes harian yang diumumkan KKM.

Ramai yang mengaitkan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri punca peningkatan kes mendadak disebabkan tiada pematuhan SOP dan keadaan bersesak dan menurut laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 904 kes positif COVID-19 mempunyai kaitan dengan kunjungan atau dijangkiti oleh individu yang pernah mengunjungi bazar Ramadan di seluruh negara.

Nampaknya, rakyat Malaysia masih belum terdidik membiasakan diri untuk mematuhi SOP ketika kerajaan telah memberikan kelonggaran sedikit demi sedikit, justeru keputusan kerajaan bertindak tegas melaksana PKP bersasar dan melarang rentas daerah serta negeri ketika musim perayaan adalah tindakan tepat untuk mengawal jangkitan COVID-19 dan tindakan ini dilihat membantu pihak MKN dan KKM mengatur strategi untuk melandaikan keluk kes COVID-19 di Malaysia.

Seperti kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kita belum gagal (mengawal jangkitan COVID-19) namun kita masih belum menang melawan pandemik ini.

Masih belum terlambat untuk negara mengurangkan jangkitan kes asalkan mendapat kerjasama semua rakyat Malaysia, kita jangan berputus asa, bersolidaritilah, justeru akurlah dengan keputusan kerajaan, janganlah kita mengikut hati yang marah dan kecewa hanya kerana tidak dapat pulang ke kampung.

Usah kita berusaha mencari jalan tikus dan mencuba-cuba rentas negeri untuk pulang beraya, walaupun kita berjaya melepasi sekatan jalan raya, kita akan menyesal seumur hidup sekiranya kita adalah penyebar COVID-19 kepada keluarga tersayang di kampung.

Mereka yang tidak dapat pulang ke kampung usah gundah gulana, bersyukurlah kerana anda masih boleh beraya di kota dengan norma baharu dan hargailah peluang dapat beraya bersama keluarga kecil anda, ketika inilah para isteri berpeluang menunjukkan kemahiran memasak juadah hari raya yang sebelum ini disediakan orang tua di kampung.

Lihatlah dari sudut positif dan anggapnya sebagai satu ujian, bukan hanya kita yang rasa keperitan ini tetapi seluruh dunia sedang berdepan dugaan ini.

Bagi mereka yang dapat beraya di samping keluarga besar, usahlah terlalu gembira sehingga terlupa kita beraya di musim COVID-19, dan ingatlah ketika anda sedang seronok menggayakan busana baharu serba cantik dan mewah, petugas barisan hadapan sedang bermandi peluh dalam PPE mereka.

Kasihanilah petugas kesihatan yang beraya di hospital, simpati juga kepada pasukan polis serta tentera yang berpanas di sekatan jalan raya ketika Hari Raya pertama, mereka beria menahan kereta anda bertanya mahu ke mana dan untuk apa kerana mereka terpaksa ‘menyibuk’ atas kapasiti tugas, usahlah kita memaki hamun mereka.

Fahamilah SOP dan praktikkannya secara total, bukan hanya di tempat awam dan di tempat kerja tetapi juga kepada keluarga serta sanak saudara kerana pengabaian ini akan memungkinkan kita menjadi salah seorang mangsa dan penyumbang kepada statistik kes harian yang diumumkan KKM.

-RI

Tinggalkan komen anda