
Laporan/foto: Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)
KEMAMAN, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Lebih 10,000 pengunjung menghadiri Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang telah berlangsung dari 19 hingga 21 Jun di Arena Square dan Padang Astaka, di sini.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPENIN) Terengganu Mohd Rosli Alias ketika ditemui, berkata sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum tentang kepentingan perpaduan dan integrasi nasional bagi membentuk negara yang harmoni dan stabil.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ketika ditemui.
“Antara tarikan utama ialah pameran Rumah Perpaduan yang memaparkan tujuh rumah pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli, serta masyarakat Sabah, Sarawak dan Siam.
“Setiap rumah mempamerkan adat resam, pakaian tradisional, budaya serta alat muzik,” katanya, kelmarin.
Program ini turut merangkumi tiga elemen utama iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah.

Pertandingan sukan rakyat turut dianjurkan sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan termasuk Bicara Perpaduan, pameran Rukun Negara, tayangan patriotik, demonstrasi masakan tradisional, jualan produk, sukan rakyat, e-sukan, persembahan budaya, pemeriksaan kesihatan, ceramah kesedaran, serta jualan trak makanan dan Jualan Rahmah.
Menurut Mohd Rosli lagi program ini membuka ruang interaksi masyarakat dan menyemai semangat cintakan negara, selain memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia.
“Saya berharap masyarakat mendapat manfaat dalam memahami dan menghargai kepelbagaian budaya yang ada di negara ini,” katanya.
-ZS-





