
Laporan/foto: Siti Zuraida (Jempol)
JEMPOL, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol Syahrul Nizam Saleh, memberi amaran kompaun akan dilaksanakan dengan lebih tegas kepada mana-mana individu atau pemilik perniagaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara selepas ini.
“Jawatankuasa memandang serius mengenai kes jangkitan COVID-19 di daerah ini dan pihak kami bersetuju untuk membuat disinfeksi awam di tempat-tempat tumpuan seperti medan selera makan, pasar, masjid, rumah ibadat dan kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lokasi penularan kes COVID-19.
“Pemilik premis perniagaan perlulah menghadkan bilangan pengunjung yang dibenarkan untuk berada dalam premis perniagaan dalam satu-satu masa dan perlu menampal di pintu masuk premis berdasarkan SOP Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Sehingga hari ini keseluruhan kes positif COVID-19 di daerah Jempol dan masih menerima rawatan adalah sebanyak 166 kes dan didapati Mukim Serting Hilir mencatat kes tertinggi dengan data kes positif sebanyak 62 kes dan lokaliti yang telah dikenalpasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jempol,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Menurut Syahrul, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada laman web rasmiMajlis Keselamatan Negara (MKN), KPDNHEP, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Jempol bagi mendapatkan SOP terkini.
“Orang ramai yang masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin agar segera mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi melindungi diri dan keluarga daripada dijangkiti dan orang ramai diminta supaya tidak keluar sekiranya tiada urusan penting, jangan menerima tetamu berkunjung ke rumah, jangan pergi ke tempat tumpuan orang ramai dan sentiasalah mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MKN,” katanya.
-FF