Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lelaki Mengamuk Tidak Dibenar Masuk Masjid

By 17 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU CAVES, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Pihak polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki yang disyaki bertindak menendang pintu pagar hingga tercabut di Masjid Jamiatus Solahiah, Kampung Sungai Tua Baharu, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada bilal masjid berkenaan pukul 1.40 tengah hari pada 14 Mei lalu.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati lelaki berkenaan menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna oren dalam keadaan seperti mengamuk telah menendang pintu pagar masjid sehingga tercabut.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian apabila tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat.

“Pada hari tersebut masjid memang ditutup dan notis ada ditampal di depan pintu pagar masjid berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Arifai berkata, suspek telah ditangkap semasa hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 15 Mei.

Katanya, suspek yang berumur 35 tahun itu direman selama empat hari sehingga 19 Mei bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 427 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan membencana serta mencemarkan tempat sembahyang.

Terdahulu, tular di kalangan penduduk tempatan video berdurasi dua minit dua saat seorang lelaki menendang pintu pagar masjid hingga tercabut dan jatuh.

Lelaki berkenaan mulanya dilihat mengoyak dan memijak notis yang ditampal pihak pengurusan masjid sebelum bertindak menendang serta menjatuhkan pintu pagar.

-RI

Tinggalkan komen anda