Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

LUAS Pantau 24 Jam Sumber Air, Elak Gangguan Menjelang Aidilfitri

By 12 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS

SHAH ALAM, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mempergiatkan operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama untuk memastikan insiden pencemaran tidak menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA).

Ia juga bertujuan mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna ketika musim perayaan dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sedang berkuat kuasa.

Menerusi satu kenyataan hari ini, LUAS memaklumkan operasi pemantauan tanpa henti oleh Skuad Pantas LUAS di kawasan-kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang termasuk empangan-empangan negeri.

“Ini bagi memastikan tiada berlaku sebarang insiden pencerobohan selain memastikan kelangsungan sumber air negeri Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara.

“LUAS turut melaksanakan pemantauan statik (pensampelan in-situ) di kawasan strategik yang dikenal pasti berisiko.

“Selain itu, pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga dilaksanakan bagi memantau status kualiti air dengan lebih berkesan,” menurut kenyataan tersebut.

Skuad Pantas LUAS sedang memeriksa sumber air di kawasan sensitif di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang termasuk empangan-empangan negeri.

Skuad Pantas LUAS sedang memeriksa sumber air di kawasan sensitif di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang termasuk empangan-empangan negeri.

Kenyataan berkenaan juga menyatakan LUAS sentiasa siap siaga melalui Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sumber-sumber air alternatif seperti HORAS 600 dan Simpanan Air Dari Sungai (ORS) di Bestari Jaya.

“Ianya bertujuan menyalurkan air sebagai sumber tambahan bagi membantu mempercepatkan langkah-langkah kawalan dan mitigasi sekiranya berlaku insiden-insiden yang tidak diingini.

“Sehingga 11 Mei 2021, LUAS telah berjaya mencegah 24 insiden pencemaran daripada menjejaskan operasi LRA (Kod Kuning – insiden yang berpotensi menyebabkan henti tugas LRA) dan sehingga kini tiada kes pencemaran yang menyebabkan henti tugas LRA (Kod Merah) direkodkan.

“LUAS sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air negeri Selangor dan menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai,” kata kenyataan berkenaan.

Menerusi kenyataan itu juga, LUAS menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian aplikasi Whatsapp 0192647904 atau e-mail [email protected].

-RI

Tinggalkan komen anda