
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 28 Mei (Malaysiaaktif) –Prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh pada April 2021, berkembang sebanyak 43.2 peratus tahun ke tahun kepada RM190.76 bilion — rekod tertinggi baharu dari segi nilai bulanan perdagangan, eksport dan import.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata eksport kekal melebihi RM100 bilion bagi dua bulan berturut-turut, melonjak sebanyak 63 peratus kepada RM105.62 bilion semasa bulan tersebut.
“Ini merupakan pertumbuhan terpantas direkodkan sejak Februari 1998 dan kenaikan tahun ke tahun yang ke lapan bulan berturut-turut sejak September 2020.
“Import meningkat 24.4 peratus kepada RM85.14 bilion dan lebihan dagangan melonjak 663.5 pratus kepada RM20.48 bilion,” katanya.
MITI berkata pertumbuhan eksport disokong oleh kenaikan permintaan global terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) khususnya semikonduktor yang seiring dengan perkembangan dalam teknologi pendigitalan dan pembinaan rangkaian 5G, keluaran getah serta keluaran petroleum.
Eksport ke kesemua pasaran utama — ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan pertumbuhan positif.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang sebanyak 2.7 peratus, 0.6 peratus dan 5.4 peratus manakala lebihan dagangan berkurangan sebanyak 15.4 peratus.
MITI berkata perdagangan bagi tempoh empat bulan pertama 2021 berkembang 21.4 peratus kepada RM696.46 bilion.
Eksport meningkat 27.8 peratus kepada RM387.81 bilion dan import naik 14.3 peratus kepada RM308.65 bilion manakala lebihan dagangan melonjak 137.5 peratus kepada RM79.16 bilion.
Pada April 2021, MITI berkata kesemua barangan eksport merekodkan pertumbuhan positif melainkan gas asli cecair (LNG) dan kelengkapan pengangkutan.
“Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.3 peratus daripada jumlah eksport, melonjak 64.5 peratus tahun ke tahun kepada RM91.1 bilion dan merupakan pertumbuhan terpantas direkodkan dalam tempoh 22 tahun,” katanya.
Ia berkata pertumbuhan kukuh telah direkodkan bagi kesemua barangan perkilangan kecuali kelengkapan pengangkutan.
“Kenaikan ini disumbang oleh permintaan yang kukuh bagi barangan E&E, keluaran getah, keluaran petroleum, barangan perkilangan logam serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
“Keluaran getah dan keluaran petroleum mencatatkan nilai eksport tertinggi setakat ini,” katanya.
Sementara itu, eksport keluaran pertanian (7.4 peratus syer) melonjak 66.9 peratus kepada RM7.85 bilion berbanding April 2020 dipacu terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit
MITI berkata eksport hasil galian (5.4 peratus syer) pulih sebanyak 24.5 peratus tahun ke tahun kepada RM5.67 bilion setelah mencatatkan pertumbuhan negatif sejak Julai 2019 — peningkatan ini disokong oleh kenaikan eksport petroleum mentah, petroleum kondensat dan minyak petroleum lain serta bijih logam dan serpihan logam.
Perdagangan dengan ASEAN berkembang 64.7 peratus tahun ke tahun kepada RM49.85 bilion, menyumbang 26.1 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia.
“Eksport sekali lagi mencatatkan rekod bulanan tertinggi, meningkat 58.6 peratus kepada RM30.52 bilion dan mengekalkan pertumbuhan dua digit sejak Februari 2021.
“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN meningkat 75.4 peratus kepada RM19.33 bilion,” katanya.
— BERNAMA