Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

PL Lulus RM100 Ribu Tampung Kos Pengurusan Makanan PKRC

By 31 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/BES Labuan

LABUAN, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kos awal pengurusan makanan bagi dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Labuan iaitu di Bahagian Teknologi Pendidikan Sungai Lada dan Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, tindakan itu dapat diambil selepas menerima surat arahan Pusat bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Labuan selama sebulan.

“PL juga turut meluluskan bajet tambahan RM20,000 daripada tabung amanah bagi perbelanjaan makanan kering seperti biskut, kopi, teh,milo dan gula bagi sajian kepada pesakit COVID-19 yang ditempatkan di PKRC tersebut,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Usaha bagi menangani bilangan pesakit positif COVID-19 yang meningkat secara mendadak juga turut mendapat kerjasama daripada semua jabatan-jabatan kerajaan selepas mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PL , Dr. Fary Akmal Osman.

Keadaan PKRC Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan semasa proses persiapan awal dijalankan.

Keadaan PKRC Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan semasa proses persiapan awal dijalankan.

“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersetuju menyediakan sebanyak 30 kilogram ikan segar ke Unit Sajian Hospital Labuan secara berterusan selama 20 hari bagi meringankan beban Hospital Labuan.

“Usaha ini juga turut disambut oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang (PP) dan Peniaga PHPP dengan membekalkan bahan segar dan basah seperti daging, ayam serta sayur-sayuran kepada Hospital Labuan.

“Jabatan Pertanian juga turut membantu dalam penyediaan makanan bagi pesakit COVID-19 dengan membekalkan sayur-sayuran segar seperti pak choy dan kacang panjang dan memulakan penanaman bagi pembekalan secara berterusan kepada Hospital Labuan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sumbangan daripada sektor swasta turut mula diterima antaranya daripada Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) dan sumbangan daripada Petra Energy Berhad Labuan berupa makanan kering bagi kegunaan pesakit COVID-19 di dua buah PKRC di Labuan.

Sumbangan 400 tilam dan 200 katil bertingkat daripada Labuan FSA bagi kegunaan PKRC.

Sumbangan 400 tilam dan 200 katil bertingkat daripada Labuan FSA bagi kegunaan PKRC.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan juga berusaha mendapatkan sumbangan sektor swasta dan syarikat korporat bagi membantu pengurusan pesakit COVID-19 di pulau itu.

“Semua bantuan dan sumbangan ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Pusat Operasi Kawalan Bencana (PKOB) bagi memastikan SOP dan keselamatan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda