
PUTRAJAYA, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) telah menyelesaikan proses penukaran semua 1,327 petak hak milik pecahan bagi bangunan lama di Kuala Lumpur kepada hak milik strata berkomputer, melibatkan 62 skim perumahan dan komersial.
Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata proses penukaran hak milik pecahan kepada hak milik strata berkomputer melalui Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik (e-Tanah) telah dijalankan secara berperingkat sejak Oktober 2020 dan selesai pada penghujung Disember 2020.
Pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Wilayah Persekutuan turut memainkan peranan dan kerjasama dalam mengemas kini semua pelan hak milik sedia ada selaras dengan Akta Hakmilik Strata 1985.
“Kerja-kerja penukaran ini dijalankan melalui Kaedah-kaedah Hakmilik Strata (Penukaran Hakmilik Subsidiari kepada Hakmilik Strata)(Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2020 yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 11 Jun 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Yasir berkata hak milik pecahan atau subsidiari merupakan pemilikan individu yang dikeluarkan kepada mana-mana petak dalam sebuah bangunan lama bertingkat yang telah dipecah bahagi berdasarkan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 sebelum Akta Hakmilik Strata 1985 dikuatkuasakan pada 1 Jun 1985.
Kata Muhammad Yasir, dengan penukaran itu, rekod hak milik berkenaan kini ditadbir melalui e-Tanah selain sebarang urusan dan proses akan dapat dilaksanakan dengan mudah secara berkomputer.
“Dengan penukaran ini juga carian hak milik boleh dipohon dan diperoleh secara dalam talian, termasuklah pembayaran cukai petak. Peruntukan perundangan di bawah Akta Hakmilik Strata dan Akta Pengurusan Strata juga dapat diguna pakai berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata pihaknya yakin penukaran berkenaan akan memberikan impak positif kepada pemilik-pemilik terlibat dan mana-mana pihak yang mempunyai pertanyaan mengenai perkara ini boleh hadir ke Bahagian Strata, PPTGWP atau e-melkan soalan ke [email protected].
— BERNAMA