
Laporan/foto: RA Othman (Marang)
MARANG, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 300 penerima vaksin telah berjaya menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Marang yang berpusat di Dewan Utama Majlis Daerah Marang semenjak hari pertama PPV ini beroperasi iaitu pada 3 Mei yang lalu dan akan berakhir pada Februari 2022.
Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata jumlah penerima vaksin yang disasarkan menepati dan dikawal dengan baik oleh para petugas yang berkaitan.
“Setiap hari kita akan pastikan senarai 300 penerima vaksin COVID-19 di PPV Marang dipenuhi seperti yang ditetapkan memandangkan kita tidak mahu berlaku lambakan atau permintaan yang tinggi pada saat akhir program pemberian vaksin percuma oleh kerajaan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis ringkas lawatan dan penyerahan sumbangan juadah berbuka puasa bersama Hotel Paya Bunga Kuala Terengganu di sini semalam.

Pegawai Daerah Marang (kiri) bersama sebahagian petugas barisan hadapan menyampaikan ucapan raya serta peringatan pematuhan SOP buat masyarakat.
Menurut beliau lagi senarai nama penerima vaksin yang berdaftar akan dihubungi dan dimaklumkan tarikh untuk penerimaan suntikan supaya tidak ada antara penerima yang terlepas temu janji tersebut.
“Mana-mana nama yang tidak hadir atau tidak dapat memenuhi temu janji ini, kita akan segera menggantikan nama penerima lain untuk sesi tersebut supaya tidak ada pembaziran vaksin berlaku kerana kita telah sedia maklum vaksin ini amat sensitif dan tidak boleh digunakan lagi setelah dikeluarkan dari peti suhu simpanan.”
Tambah beliau semasa menerangkan tentang hiasan ceria raya yang telah memenuhi ruangan PPV demi untuk membangkitkan semangat raya serta memberi suasana ceria kepada para petugas dan penerima vaksin.

Wan Ismail Wan Chik, 74 (kanan) dari Kampung Beladau Kepong antara penerima vaksin di sini turut menerima juadah berbuka puasa.
Pengurus Besar Hotel Paya Bunga Kuala Terengganu, Abdul Hadi Alias turut mengambil kesempatan mengagihkan juadah berbuka puasa, bubur lambuk kepada semua petugas dan penerima vaksin di PPV serta kepada semua petugas barisan hadapan di daerah Marang iaitu Polis Daerah Marang, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pejabat Belia Daerah Marang dan Pejabat Kesihatan Daerah Marang.
“Agihan sumbangan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan adalah satu penghargaan kepada mereka semua yang sangat komited dengan tugasan serta sebagai tanda terima kasih kepada orang ramai yang telah datang mengambil suntikan vaksin COVID-19 di sini,” ujar beliau yang memaklumkan program lawatan dan agihan sumbangan sebegini patut diteruskan lagi pada masa akan datang.

Pengurus Besar Hotel Paya Bunga Kuala Terenganu, Abdul Hadi Alias memberi sumbangan kepada wakil Polis Daerah Marang.
Dalam majlis ringkas lawatan ini, Pegawai Daerah Marang bersama Pengurus Besar Hotel Paya Bunga turut ditemani oleh Pegawai Kesihatan Daerah, Tan Sin Yiew membuat tinjauan di PPV dan menerangkan setiap fungsi serta prosedur yang perlu dipenuhi oleh penerima vaksin sebelum mengambil suntikan.
-ii-