
Laporan/foto: Sheik Amilhisham Sheik Hashim/Abdul Halim Jumat (Jelebu)
JELEBU, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Program Sepakat@Komuniti Daerah Jelebu rapatkan Saf Penduduk Felcra Lakai melalui aktiviti kacau dodol melibatkan penduduk setempat.
Menurut Pengurus Felcra Lakai Ahmad Nazree Yacob, sebanyak 200 bekas dodol disediakan untuk diedarkan di kawasan sekitar.
“Sebelum ini kita buat 500 bekas sempena sambutan Aidilfitri, tapi kali ini kurang sedikit sebab masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kami mengehadkan jumlah tetamu yang hadir kerana mahu mematuhi sop yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui sempena program tersebut di perkarangan Masjid Felcra Lakai, di sini baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Jelebu ini membabitkan penyertaan seluruh peserta Felcra Lakai dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain seperti Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu, dan PDRM.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, program seumpama ini mampu menarik minat masyarakat tentang nilai makanan tradisi yang semakin dilupakan oleh generasi muda kini di samping kita terpaksa hidup dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.
Dalam program sama, turut diadakan taklimat daripada PDRM tentang isu SOP, Kompaun dan sesi soal jawab berkenaan vaksin COVID-19 dan juga kaunter pendaftaran vaksin COVID-19 bagi mereka yang belum mendaftar.
-FF