Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

PROTAJ MAIWP Salur RM1.23 Juta kepada 413 Orang Asnaf di Labuan

By 1 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/MAIWP Labuan

LABUAN, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Program Transformasi Asnaf Jaya (PROTAJ) bawah bantuan Musaadah Tijariyyah 2021 menyalurkan peruntukkan sebanyak RM1.23 juta kepada 413 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, bantuan itu merupakan manifestasi kesungguhan MAIWP dalam usaha meningkatkan taraf hidup asnaf di Wilayah Persekutuan terutamanya semasa era COVID-19 ini.

“Semoga Bantuan Usahawan Musaadah Tijariyyah ini dapat membantu usahawan asnaf untuk meningkatkan perniagaan mereka dan keluar daripada kemiskinan sehingga menjadi pembayar zakat semula selepas ini,” katanya semasa menghadiri Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan kepada Asnaf Wilayah Persekutuan Labuan di Desa Tunas Hijau, di sini semalam.

Selain itu katanya, melalui Program Musa’adah COVID-19, pihak MAIWP memperuntukkan sumbangan kepada muallaf sebanyak RM271,500.00 kepada 543 orang penerima.

Ahmad Marzuk (kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang asnaf.

Ahmad Marzuk (kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang asnaf.

“Setiap penerima akan menerima bantuan sebanyak RM500.00 seorang yang akan diagihkan secara berperingkat dalam tempoh terdekat, diharapkan usaha seperti ini akan kita kerapkan dari masa ke masa dengan pelbagai bentuk bantuan kepada pihak yang memerlukan,” jelasnya.

Tambahnya, MAIWP telah mengorak langkah awal dengan menyalurkan bantuan Ihya Ramadan kepada semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Di Labuan, sebanyak RM759,000.00 disalurkan kepada 16 buah masjid, 16 buah surau Jumaat dan 29 buah surau biasa melalui kerjasama pihak JAWI Labuan.

“Bantuan tersebut diberikan bagi membolehkan pihak Ahli Jawatankuasa dapat merancang dan melaksanakan program-program untuk menghidupkan Ramadan dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima bantuan Musaadah Tijariyyah 2021.

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima bantuan Musaadah Tijariyah 2021.

“Setiap masjid menerima sebanyak RM15,000, surau Jumaat sebanyak RM12,500.00 dan surau biasa sebanyak RM11,000.00, manakala saguhati kepada Ahli Jawatankuasa masjid/surau Jumaat juga turut diberikan sebanyak RM238,400.00 di Labuan,” katanya lagi.

Ahmad Marzuk turut berharap agar usaha bagi mengagihkan wang zakat kepada lapan golongan asnaf itu akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan setiap individu yang layak mendapat bantuan zakat menerima hak mereka masing-masing.

“Semoga dengan langkah proaktif yang dilakukan oleh MAIWP ini sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan di dalam usaha untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan ummah khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 543 orang saudara baharu melibatkan peruntukan sebanyak RM271,500.00 selain 50 orang asnaf yang menerima kit barangan makanan bernilai RM 100 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,000.00.

Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Para penerima bantuan bergambar kenangan bersama Ahmad Marzuk dan tetamu jemputan lain.

Para penerima bantuan bergambar kenangan bersama Ahmad Marzuk dan tetamu jemputan lain.

-RI

Tinggalkan komen anda