
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Ramadan tahun ini membawa sinar baharu kepada majoriti para peniaga khususnya tukang jahit di daerah ini apabila menerima tempahan menjahit baju berpusu-pusu sejak awal tahun lagi.
Sejak Januari lalu kebanyakan orang ramai mula mendapatkan perkhidmatan bagi menempah baju untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurut Wan Rosnah Wan Harun, 51, sebanyak 300 pasang baju pelbagai bentuk telah ditempah di kedai jahitnya bermula awal tahun ini di mana situasi berkenaan berbeza dengan tahun lepas apabila dua lot kedai jahitnya di pasar Batu Enam, di sini ditutup kerana Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.
“Pada tahun ini kebanyakan para peniaga di sini boleh menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi dan membuka kedai jahit.
“Pada tahun lalu, kesan pelaksanaan PKP menyebabkan kami semua mengalami kerugian teruk dan hampir muflis,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini semalam.
Tambah Wan Rosnah, bermula Januari lalu, beliau menerima tempahan hampir setiap hari menyebabkan beliau terpaksa mengambil pekerja baharu bagi membantunya menyiapkan tempahan yang terlalu banyak.
Manakala pembantu kedai jahit, Hidayu Abd Hamid, 32, berkata pada tahun lepas ketika pelaksanaan PKP, beliau hampir kehilangan pekerjaan kerana pihak majikan tidak mampu untuk membayar gajinya kerana kedai berkenaan ditutup sepenuhnya.
“Pada tahun lepas kami hanya sempat beroperasi selama 15 hari sahaja, tempahan yang diterima daripada pelanggan juga sangat kurang kerana orang ramai tidak mahu menempah baju kerana pelaksanaan PKP,” katanya.
“Saya simpati dengan keadaan majikan yang serba salah untuk memberhentikan saya kerana pihak majikan tidak mempunyai pendapatan sepanjang kedai tidak dibenarkan beroperasi.

Majoriti pemilik kedai jahit di Pasar Batu Enam, Kuala Nerus lega tempahan yang diterima setiap hari semakin banyak berbeza dengan keadaan tahun lepas ketika pelaksanaan PKP.
“Meskipun begitu pada tahun ini, keadaan kembali normal dan meriah kerana tempahan yang diterima sangat banyak,” katanya.
Sementara itu, pelanggan kedai jahit, Rohaya Muhammad, 40, berkata dia yang merupakan pelanggan tetap di kedai jahit di sini bersyukur pada tahun ini kedai jahit dibenarkan beroperasi sepenuhnya.
“Saya berasa lega apabila kerajaan membenarkan kedai jahit beroperasi seperti biasa meskipun ketika ini di Negeri Terenggganu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.
“Kami sekeluarga merupakan pelanggan tetap di kedai jahit di pasar ini dan saya sangat gembira apabila tempahan baju raya siap sepenuhnya seperti yang dijanjikan oleh tukang jahit,” katanya mengakhiri perbualan.
-ii-