
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Rozita Ibrahim (PPD)
PORT DICKSON, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Sebuah kenderaan sumbangan syarikat Mazda Malaysia Sdn. Bhd. bakal digunakan Politeknik Port Dickson (PPD) dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Pengarah Politeknik Port Dickson Mohamad Isa Azhari, berkata kenderaan tersebut akan digunakan oleh pensyarah dan pelajar dalam mempelajari automotif khususnya teori dan praktikal secara langsung.
“Diharapkan dengan adanya sumbangan kenderaan seperti ini, para pelajar dapat memperoleh pengalaman praktikal sama seperti keadaan sebenar dan dapat meningkatkan keyakinan pelajar dalam membaik pulih kenderaan dengan sendiri atau ketika bekerja di sektor yang berkaitan selaras dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).
“Sebagai tambahan, pihak Politeknik juga akan turut menerima beberapa lagi sumbangan kenderaan dari agensi kerajaan dan orang perseorangan daripada pelbagai jenama,” katanya dalam sesi penyerahan replika kunci kereta sumbangan syarikat tersebut di Politeknik Port Dickson, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Mekanikal Razali Bakri berkata, sejak tahun 2019 pihak Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan syarikat automotif tersebut telah merancang untuk kerjasama ini.
“Namun, atas sebab tertentu dan Pandemik COVID-19, usaha ini terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dapat dilaksanakan apabila Politeknik Port Dickson menerima sebuah kereta tajaan.
“Kenderaan tersebut tersebut menggunakan enjin 2.0L dan menggunakan teknologi terkini SkyActiv di mana enjin kereta akan dimatikan apabila berada dalam keadaan berhenti yang dapat menjimatkan penggunaan bahan api kenderaan,” katanya.

Kenderaan sumbangan syarikat Mazda Malaysia Sdn. Bhd. yang akan digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran institut pengajian tersebut.
Sebanyak sembilan buah Politeknik di Malaysia akan turut menerima sumbangan kenderaan daripada pihak Mazda Malaysia Sdn. Bhd. antaranya Politeknik Ungku Omar Perak, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Pahang, Politeknik Kota Bahru Kelantan, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu, Politeknik Kuching Sarawak, Politeknik Muadzam Shah Pahang, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Selangor dan Politeknik Sultan Azlan Shah.
-FF