
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JAIS
SHAH ALAM, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan pihaknya mengesan terdapat masjid dan surau melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika ini.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata perkara itu dikesan ketika pemantauan petugasnya dan JAIS mengambil sikap memberi nasihat serta teguran secara baik pada peringkat ini.
“Antara kesalahan itu termasuk bilangan jemaah melebihi had ditetapkan, tidak memakai pelitup muka serta tidak menjaga penjarakan sepanjang berada di masjid dan surau.
“Selain itu JAIS juga menerima aduan terdapat sekumpulan umat Islam yang mendirikan solat Jumaat di premis yang tidak dibenarkan.
“Tindakan dan perbuatan ini adalah suatu kesalahan yang melanggar Seksyen 97, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2018,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, tindakan yang tegas akan dilakukan sekiranya perlanggaran SOP masih berlaku pada siri pemantauan berikutnya.
“Tindakan tegas yang dilakukan itu demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan umat Islam dan seluruh masyarakat di negeri Selangor.
“Keputusan yang dibuat oleh JAIS ini terlebih dahulu mendapat nasihat dari semua pihak berwajib dan selepas diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafudiin Idris Shah,” katanya.
Menurut Shahzihan, JAIS amat memahami keperluan serta keutamaan masjid dan surau untuk terus bergiat aktif sebagai pusat ibadah umat Islam setempat.
“Namun ahli jemaah diminta jangan mengambil sikap memberi tentangan serta menunjukkan tindakan tidak bijak apabila menentang penguatkuasaan SOP oleh pentadbir masjid dan surau.
“Ia termasuk membuat kenyataan tidak tepat terhadap beberapa perkara yang sudah mempunyai tempat hukum yang benar seperti mana ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sejak dari awal PKP pada Mac 2020 lagi,” jelasnya.
Katanya, JAIS amat berharap umat Islam menghadapi semua keadaan serta ketetapan sekarang dengan bermuhasabah, merenung kembali peranan masing- masing sebagai jemaah masjid dan surau serta sebagai masyarakat dalam lingkungan yang pelbagai dan berbeza.
-RI