
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak belum mengesan orang awam yang cuba merentas daerah atau negeri tanpa alasan munasabah selepas kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan kelmarin.
Terdahulu, tular di media sosial gambar yang menunjukkan kesesakan yang teruk di Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong.
Situasi tersebut mengundang rasa kurang senang netizen dan mahu pihak polis bertindak tegas dengan mengenakan kompaun atau arahan berpatah balik sekiranya terdapat mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata tinjauan dan pemantauan pihaknya mendapati mereka mempunyai surat kebenaran merentas daerah atau negeri disebabkan pekerjaan, kecemasan dan rawatan perubatan.
“Andaian bahawa terdapat orang awam yang cuba mengambil kesempatan keluar dari lembah kelang setelah pengumuman sekatan pergerakan adalah tidak tepat.
“Memang berlaku kesesakan di SJR Tol Gombak sepanjang hampir dua kilometer sejak pukul 9 pagi sehingga 12 tengahari tadi.

Sebuah kereta diarah berpatah balik selepas gagal mengemukakan dokumen sokongan untuk rentas negeri di SJR Plaza Tol Gombak, hari ini.
“Namun, keadaan tersebut kembali normal menjelang 1 tengah hari apabila bilangan kenderaan telah berkurangan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau SJR Plaza Tol Gombak, semalam.
Bagaimanapun menurut Arifai, sebanyak 14 buah kenderaan telah diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan dokumen sokongan yang memuaskan.
“Walaupun ada kebenaran pihak majikan atau polis, tetapi mereka gagal mengemukakan dokumen sokongan.
“Mereka tidak dikompaun kerana belum merentas negeri atau daerah kerana masih berada di daerah Gombak dan negeri Selangor,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 hingga 14 Jun depan.
Kenyataan itu menyatakan sepanjang tempoh tersebut semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
-RI