Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tuan Rumah, Tetamu Dikompaun Langgar SOP Aidilfitri

By 15 Mei 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporn/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengeluarkan 10 kompaun kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata individu tersebut merupakan tiga orang tuan rumah sementara tujuh tetamu di dua kawasan berbeza di Rawang semalam.

“Pihak kami telah mengenakan kompaun kepada tiga orang iaitu tuan rumah dan tetamu di Kampung Kenanga dan tujuh di Rawang Perdana.

“Tetamu yang hadir itu adalah dalam daerah Gombak namun telah melanggar SOP Aidilfitri tahun ini yang tidak membenarkan sebarang ziarah diadakan.

“Alasan yang diberikan oleh mereka adalah keliru dengan SOP yang sebelum ini membenarkan 15 orang untuk ziarah, namun itu adalah SOP lama yang telah terbatal setelah kerajaan mengeluarkan SOP yang baharu,” katanya.

Anggota polis sedang mengeluarkan kompaun yang dikenakan kepada tuan rumah dan tetamu yang melanggar SOP Aidilfitri di Kampung Kenanga, Rawang.

Anggota polis sedang mengeluarkan kompaun yang dikenakan kepada tuan rumah dan tetamu yang melanggar SOP Aidilfitri di Kampung Kenanga, Rawang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyertai Operasi Khas Pematuhan SOP Aidilfitri IPD Gombak di Rawang, semalam.

Mengulas lanjut, Arifai berkata operasi bermula pukul 3 petang dan berakhir tiga jam kemudian dilaksanakan oleh 12 pasukan mengikut kawasan tertentu dalam pentadbiran IPD Gombak.

“Pasukan ini akan membuat rondaan di kawasan perumahan, rumah kampung, rumah kos sederhana atau kos rendah bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap SOP yang telah dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Secara keseluruhan, dapat disimpulkan masyarakat dalam pentadbiran IPD Gombak patuh terhadap SOP Aidilftiri dengan tidak mengadakan ziarah, jamuan hari raya, rumah terbuka atau ziarah tanah perkuburan.

“Namun, tindakan kompaun telah dikenakan kepada tuan rumah dan tetamu di dua buah rumah di Rawang kerana melanggar SOP Aidilfitri iaitu aktiviti ziarah dan mengadakan jamuan,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan akan diteruskan sehingga orang ramai patuh sepenuhnya SOP yang ditetapkan MKN supaya rantaian COVID-19 dapat diputuskan dan masyarakat dapat menjalani kehidupan seperti dahulu.

“Kita nasihatkan orang ramai agar terus kekal selamat di rumah dan tidak perlu membuat kunjungan kerana ia boleh menyebabkan virus ini terus merebak serta sukar dikawal.

“Polis juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat perlanggaran SOP Aidilfitri seperti ziarah, jamuan hari raya atau ziarah perkuburan agar menyalurkan maklumat tersebut kepada Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 0361262222,” jelasnya.

Secara keseluruhan masyarakat dalam pentadbiran IPD Gombak patuh SOP Aidilfitiri yang ditetapkan pihak MKN - Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

Secara keseluruhan masyarakat dalam pentadbiran IPD Gombak patuh SOP Aidilfitiri yang ditetapkan pihak MKN – Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

-RI

Tinggalkan komen anda