
Laporan/foto: Malini Md Yunos/Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Daerah Rembau mengambil inisiatif memberikan wajah baharu kepada kawasan riadah keluarga di daerah ini dengan menjenamakan semula tapak riadah keluarga di Pinggiran Sungai Rembau dengan nama “Rembau Waterfront”.
Menurut Yang Dipertua majlis daerah tersebut Mohd Najib Mustafa, kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai kerana daya tarikan utamanya Sungai Rembau namun lokasinya yang terletak agak jauh daripada laluan utama menyebabkan ramai yang tidak tahu kewujudan tariakan ini.
“Walaupun begitu, tempat ini menjadi pilihan penduduk tempatan untuk santai bersama-sama keluarga pada waktu petang menikmati keindahan sungai selain bersenam dan berbasikal.
“Melihat kepada perlunya penjenamaan baharu di kawasan ini, Majlis Daerah Rembau telah mejenamakan kawasan ini sebagai “Rembau Waterfront” sesuai dengan konsep riadah santai keluarga,” katanya ketika dihubungi di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Menurut Najib, pembinaan landskap berbentuk dataran dan mercu tanda moden mengindahkan lagi kawasan berkenaan, tambahan ada trek disediakan untuk berjogging, taman permainan kanak-kanak, pondok gazebo untuk berehat dan fasiliti sebelum beriadah menambahkan lagi daya tarikan untuk orang ramai datang ke sini.
“Pembinaan mata tangga mengarah ke sungai menarik minat orang ramai untuk datang kerana sesuai untuk bergambar sambil menikmati udara segar dan nyaman kerana pemandangan yang indah dikelilingi pokok menghijau malah pengunjung yang datang boleh merasai kesejukan air Sungai Rembau yang jenih lebih-lebih lagi selepas hujan.
“Turut menjadi tarikan pengunjung adalah jejantas kerana mereka dapat melihat keindahan kawasan sekitar Rembau Waterfront secara keseluruhannya dan pengunjung juga pasti berasa gembira kerana tempat meletak kenderaan yang luas selain tiada caj dikenakan kepada orang awam untuk masuk ke kawasan rekreasi ini,” katanya.
Menurut pengunjung tempatan, Razak Ali, 45, Pinggiran Sungai Rembau yang selama ini agak sepi kini semakin meriah.
“Semenjak nama baru Rembau Waterfront digunakan oleh Majlis Daerah Rembau dengan membuat penambahan fasiliti dan menaiktaraf keceriaan landskap tempat riadah ini disamping para peniaga juga boleh rasa lega kerana boleh menjana pendapatan apabila kerap dikunjungi orang luar yang singgah atau datang beriadah di sini,” katanya.
-FF